
PUTRAJAYA, 19 Ogos – Lebih 300 warga kerja Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berhimpun di perkarangan kementerian bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan dalam suasana meriah serta penuh semangat patriotik.
- Penghayatan kemerdekaan dijadikan amalan harian, bukan hanya pada bulan kemerdekaan.
- Perkukuh semangat kesatuan dan saling hormat antara semua kaum, budaya dan agama sebagai tunjang kekuatan negara.
- Program Semarak Jiwa Merdeka menyatukan warga KPKT melalui aktiviti patriotik, meraikan kepelbagaian dan memupuk perpaduan.
- Penyerahan Kit Jalur Gemilang dan pelepasan jentera JBPM serta SWCorp simbol komitmen kementerian dan agensi dalam sambutan.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata, semangat dan penghayatan kemerdekaan perlu dijadikan amalan dalam rutin harian, bukan hanya pada bulan kemerdekaan.
Perkara itu penting dalam memupuk dan memperkukuh semangat kesatuan serta permuafakatan, selain membudayakan rasa hormat dan kasih sayang sesama rakyat Malaysia, dengan kepelbagaian kaum, etnik, budaya dan kepercayaan sebagai tunjang kekuatan negara.
“Marilah kita memperkukuhkan semangat bekerjasama, saling menyayangi dan saling menghormati sebagai satu amalan. Marilah kita jadikan ia sebagai budaya, sebagai cara hidup kita sebagai rakyat Malaysia. Satu cara, satu misi dan satu bangsa.
“Kepelbagaian budaya, kaum dan agama sebenarnya adalah keistimewaan tanah air kita. Kepelbagaian budaya, kaum dan agama juga adalah kekuatan negara kita.
“Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Dusun — kita satu keluarga. Melayu, Cina, India, Iban, Dusun, Kadazan — kita sanak saudara. Kita satu keluarga besar, satu impian, satu bangsa, satu misi demi pertiwi,” ujarnya penuh semangat.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Semarak Jiwa Merdeka KPKT 2026 di Putrajaya.
Program berkenaan menjadi platform penting untuk menyatukan seluruh warga kementerian menerusi pelbagai aktiviti yang mengetengahkan nilai patriotisme, meraikan kepelbagaian budaya serta memperkasakan kebersamaan dan perpaduan, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Ia sekali gus menterjemahkan semangat ‘Unity in Diversity’ atau Penyatuan dalam Kepelbagaian, yang menjadi antara kekuatan utama keluarga besar KPKT melalui kepelbagaian latar belakang, bidang kepakaran dan peranan dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.
Sebagai simbolik pelancaran, Nga Kor Ming turut menyerahkan Kit Jalur Gemilang kepada Ketua Setiausaha KPKT dan ketua-ketua jabatan di bawah KPKT, melambangkan komitmen seluruh warga kementerian untuk terus menyemarakkan semangat patriotisme dan kecintaan kepada negara.
Majlis turut diserikan dengan pelepasan 19 jentera Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), sebagai simbolik penglibatan jabatan dan agensi KPKT dalam menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan di seluruh negara.
Majlis berkenaan turut dihadiri Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu; Ketua Setiausaha KPKT, Datuk Wira Dr. M. Noor Azman Taib; barisan pengurusan tertinggi KPKT; ketua-ketua jabatan serta warga kerja KPKT dan jabatan serta agensi di bawahnya.