
KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Seramai 600 pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) bakal melanjutkan pengajian ke luar negara tahun ini menerusi pembiayaan pelaburan pendidikan berjumlah RM489 juta.
- Kumpulan pertama 78 pelajar perubatan dihantar ke Universiti Al-Azhar, Mesir selepas program dihentikan pada 2019.
- Pelajar tajaan akan berlepas ke sembilan negara termasuk China, New Zealand, Korea, Perancis, Australia, Ireland, Kanada, UK dan Mesir.
- Pencapaian membanggakan: 11 di Imperial College London; 40 di universiti kelompok 10 terbaik; 107 di kelompok 20 terbaik dunia.
- MARA komited memperluas akses pendidikan global serta memperkukuh kerjasama bagi melahirkan bakat Bumiputera berdaya saing.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, daripada jumlah itu, 78 pelajar akan mengikuti pengajian perubatan di Universiti Al-Azhar, Mesir, manakala 415 lagi melanjutkan pengajian dalam bidang termasuk sains, teknologi, kejuruteraan, perubatan, ekonomi dan komputer.
78 pelajar perubatan itu merupakan kumpulan pertama dihantar agensi berkenaan ke Mesir selepas program tersebut dihentikan pada 2019.
“Ini merupakan kumpulan pertama yang kita hantar menerusi program perubatan selepas mendapat persetujuan Jemaah Menteri.
“Selepas program ini dihentikan pada 2019, kita tidak menghantar pelajar perubatan ke sana. Saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas persetujuan untuk menghantar kumpulan pertama seramai 78 orang,” katanya.
Penghantaran kumpulan itu turut dipermudah menerusi diskaun 50 peratus daripada Universiti Al-Azhar, sekali gus membantu mengurangkan kos keseluruhan tajaan.
Kos keseluruhan pengajian perubatan termasuk penginapan bagi tempoh lima tahun dianggarkan RM350,000 setiap pelajar, berbanding RM700,000 hingga RM800,000 bagi pengajian dalam negara.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Pra Pelepasan Pelajar Tajaan MARA ke Luar Negara Perdana 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.
Kesemua pelajar berkenaan akan berlepas secara berperingkat mulai minggu depan ke sembilan negara iaitu China, New Zealand, Korea Selatan, Perancis, Australia, Ireland, Kanada, United Kingdom (UK) dan Mesir.
Dalam pada itu, pencapaian pelajar tajaan MARA turut menyerlah apabila 11 pelajar berjaya mendapat tempat di Imperial College London, UK, yang berada di kedudukan kedua terbaik dunia berdasarkan QS World University Rankings 2026.
Datuk Dr Asyraf turut berkata, pencapaian itu antara kejayaan utama pelajar tajaan MARA tahun ini apabila 40 pelajar berjaya mendapat tempat di universiti dalam kelompok 10 terbaik dunia, manakala 107 lagi diterima masuk ke universiti dalam kelompok 20 terbaik dunia.
Pencapaian berkenaan membuktikan keupayaan pelajar Bumiputera untuk bersaing dengan pelajar terbaik dari seluruh dunia.
Lebih membanggakan, 175 pelajar tajaan MARA telah berjaya menamatkan pengajian di Imperial College London, manakala 22 lagi masih mengikuti pengajian di universiti berprestij berkenaan.
Pencapaian itu membuktikan komitmen berterusan MARA dalam melahirkan bakat berpendidikan tinggi yang berupaya menyumbang kepada pembangunan negara.
MARA komited memperluas akses pendidikan global serta memperkukuh kerjasama dengan institusi pendidikan dan industri dalam usaha melahirkan bakat Bumiputera yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.