
KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedia mengkaji dan melakukan pindaan terhadap pelaksanaan Polisi Perlindungan Murid Sekolah.
- Polisi bukan instrumen undang-undang untuk tindakan tatatertib; ia garis panduan kesedaran dan solidariti.
- Tiada klausa yang menyatakan kegagalan menandatangani membawa tindakan tatatertib secara automatik.
- Cadangan menggantikan istilah 'mewajibkan' dengan istilah kurang keras ada rasional.
- Perbincangan lanjut bersama Menteri bagi mengharmonikan pelaksanaan demi keselamatan dan kebajikan semua pihak.
Langkah ini susulan maklum balas dan pandangan awam berhubung dakwaan bahawa dokumen aku janji bawah dasar itu boleh membebankan pegawai serta guru dari sudut tindakan tatatertib.
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr. Mohd Azam Ahmad menegaskan, polisi berkenaan bukan satu instrumen undang-undang untuk mengikat atau mengenakan hukuman tatatertib, sebaliknya ia merupakan garis panduan kesedaran dan solidariti bersama dalam mewujudkan persekitaran sekolah yang selamat.
“Polisi Perlindungan Murid bukan bertujuan mengikat sesiapa dari sudut undang-undang memandangkan undang-undang sedia ada memang sudah terpakai. Sebaliknya, ia bertindak sebagai pemangkin kesedaran dan solidariti antara guru, ibu bapa, serta masyarakat demi menjamin keselamatan murid, khususnya di sekolah,” jelas beliau.
Datuk Dr. Mohd Azam berkata demikian ketika ditemui selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media.
Mengulas isu istilah ‘wajib’ yang mencetuskan kebimbangan dalam kalangan warga pendidik, Datuk Dr. Mohd Azam menjelaskan tiada klausa khusus yang menyatakan kegagalan menandatangani dokumen berkenaan akan dikenakan tindakan tatatertib secara automatik.
“Penggunaan perkataan ‘mewajibkan’ itu tidak diikuti dengan sebarang klausa bahawa ketidakpatuhan menandatangani Polisi Perlindungan Murid merupakan satu kesalahan atau boleh dikenakan tindakan. Ia bukanlah satu aku janji untuk mengikat pegawai dengan tindakan tatatertib.
“Bagaimanapun, saya memahami kebimbangan ini dan ada cadangan supaya perkataan ‘mewajibkan’ diganti dengan istilah lain yang tidak nampak terlalu keras. Pada pandangan saya, cadangan-cadangan tersebut ada rasionalnya,” tambah beliau.
Datuk Dr. Mohd Azam turut memberi jaminan bahawa perbincangan lanjut akan diadakan bersama Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bagi mengharmonikan pelaksanaan polisi berkenaan demi memastikan keselamatan serta kebajikan guru, ibu bapa, dan murid sentiasa terpelihara sepanjang proses persekolahan.