
IPOH, 19 Ogos – Kecekapan dalam pengurusan ibadah haji dan kemudahan simpanan yang semakin mudah menjadi antara faktor yang mengukuhkan keyakinan orang ramai terhadap Lembaga Tabung Haji (TH).
- Petugas TH membantu memudahkan urusan jemaah, termasuk penginapan dan sokongan kepada warga emas.
- Pengurusan TH yang baik memberi keyakinan pendeposit dan mendorong mereka terus menyimpan.
- Urusan akaun kini lebih sistematik dan mudah; pendeposit mahu penambahbaikan berterusan dari persiapan hingga selesai haji.
Bekas jemaah haji, Farazila Elmi Mansor berkata, bantuan petugas TH banyak memudahkan urusan jemaah sepanjang menunaikan ibadah di tanah suci.
“Mereka menguruskan semuanya termasuk penginapan, memang tidak ada masalah.
“Petugas-petugas juga memberi banyak komitmen kepada jemaah dan sangat membantu, terutamanya jemaah warga emas,” katanya.
Bagi pendeposit, Hamidi Fahlid pula, tahap pengurusan TH yang baik membuatkan beliau terus meletakkan kepercayaan kepada institusi berkenaan.
“Selama saya menyimpan, saya rasa amat yakin disebabkan cara pengurusan TH yang amat baik.
“Itu yang membuatkan saya terus menyimpan,” katanya.
Sementara itu, Nor Asmahany Hashim melihat kemudahan urusan akaun sebagai antara perubahan yang memudahkan pendeposit.
“Dari segi pengurusan, setakat yang saya nampak sekarang sudah agak bersistem berbanding dahulu.
“Urusan melibatkan akaun-akaun lain juga semakin mudah. Saya harap ia dapat dikekalkan dan ditingkatkan lagi,” katanya.
Pendeposit berharap langkah penambahbaikan akan dilaksana secara berterusan dengan fokus memastikan kemudahan kepada jemaah terus dipertingkatkan dari peringkat persiapan di tanah air sehingga selesai menunaikan ibadah di Tanah Suci.