Wilayah Persekutuan curi emas Men Pairs

Foto RTM

KLANG, 18 Ogos – Wilayah Persekutuan mencipta kejutan apabila menewaskan Johor 12-11 dalam aksi final Lawn Bowls Men Pairs, sekali gus meraih pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perlawanan sengit; setiap mata sukar diperoleh, memerlukan fokus tinggi sepanjang permainan.
  • Afiq dan jurulatih berbincang strategi untuk balingan terakhir apabila ketinggalan, berharap dapat meraih mata berganda.
  • Gandingan Afiq dan Hafiz dibentuk untuk memperkukuh pasukan dan menyukarkan negeri lain membaca taktikal mereka.
  • Kemenangan didedikasikan kepada rakan sepasukan yang tidak ke final dan menyuntik momentum untuk buru emas kedua.

Gandingan Muhammad Afiq Azman dan Mohamad Hafiz Roslan berdepan saingan sengit pasangan Johor dalam aksi yang berlangsung ketat dari awal hingga ke penghujung permainan.

Afiq berkata setiap mata amat sukar diperoleh apabila kedua-dua pasangan saling mengejar, sekali gus menjadikan perlawanan final penuh tekanan dan memerlukan fokus tinggi.

“Perlawanan memang agak sengit. Walaupun kami mendahului, Johor sentiasa mengejar rapat satu demi satu mata. Setiap mata bukan mudah untuk diperoleh dan kami perlu berjuang dari awal hingga akhir permainan.

“Namun, kami saling memberi sokongan dan memastikan antara satu sama lain kekal fokus. Alhamdulillah, akhirnya kami berjaya memenangi perlawanan ini,” katanya selepas tamat perlawanan di Kompleks Tertutup Lawn Bowl Bayumas, Klang, di sini.

Mengulas detik penting pada penghujung perlawanan, Afiq berkata beliau bersama jurulatih mendapatkan pandangan mengenai strategi untuk menghadapi ‘bowl’ terakhir lawan.

“Dalam perlawanan itu, kami ketinggalan satu mata. Jadi, seboleh-bolehnya kami cuba mendapatkan dua mata. Kami berbincang dengan jurulatih dan beliau berkata, kalau ada rezeki, ada; kalau tidak, tidak mengapa kerana ketika itu saya masih mempunyai balingan terakhir,” katanya.

Kemenangan itu cukup bermakna buat Afiq apabila Wilayah Persekutuan berjaya menafikan hasrat Johor untuk menguasai acara berkenaan, selain didedikasikan kepada rakan sepasukan yang tidak berjaya melangkah ke final.

Sementara itu, Hafiz berkata gandingannya bersama Afiq dibentuk bagi memperkukuh pasukan, selain memastikan corak taktikal mereka sukar dibaca negeri lain.

“Saya ada keserasian yang kuat dengan Afiq. Kami digabungkan untuk menjadi lebih kuat daripada sebelumnya. Kalau barisan pemain yang sama, negeri lain akan baca taktikal kami,” katanya.

Hafiz yang sebelum ini beraksi dalam acara berbeza bersama Afiq pada SUKMA Sarawak berkata gandingan mereka kali ini membuahkan hasil apabila berjaya menghadiahkan emas buat Wilayah Persekutuan.

Wilayah Persekutuan sebelum ini menyasarkan dua pingat emas dalam acara Lawn Bowls, dengan kejayaan Men Pairs menjadi emas pertama kontinjen itu.

Hafiz kini mengintai peluang untuk membantu merealisasikan sasaran berkenaan menerusi acara Men Fours, manakala Afiq akan meneruskan cabaran dalam acara Men Singles yang dijadual bermula 20 Ogos.

Kemenangan 12-11 ke atas Johor itu sekali gus menyuntik momentum buat Wilayah Persekutuan untuk memburu emas kedua dalam baki saingan Lawn Bowls SUKMA Selangor 2026.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.