
KOTA KINABALU, 18 Ogos- Sabah FA membuka kempen kelayakan Liga Juara-Juara Wanita Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2027 dengan bergaya selepas membelasah Rovers FC dari Guam, 13-0 di Stadium Likas, malam tadi.
- Ketua jurulatih Bobby Gonzales puji usaha dan disiplin tinggi pemain sepanjang perlawanan.
- Rakaman perlawanan akan dianalisis untuk kenal pasti kekuatan dan kelemahan pasukan.
- Ketua jurulatih Rovers FC, Dominic Gadia, akui kurang pengalaman dan tahap kecergasan menjejaskan prestasi.
Ketua Jurulatih Sabah FA, Bobby Gonzales berpuas hati dengan persembahan keseluruhan pemain yang disifatkannya menampilkan usaha dan disiplin tinggi sepanjang perlawanan.
Beliau berkata rakaman perlawanan akan dianalisis bagi mengenal pasti kekuatan dan kelemahan pasukan sebelum pendekatan bagi aksi seterusnya ditentukan.
Sementara itu, pemain terbaik perlawanan, Mailisa Atis berkata kemenangan berkenaan adalah hasil usaha keseluruhan pasukan.
“Saya bukan sahaja gembira dapat menjaringkan gol, tetapi saya juga gembira apabila rakan sepasukan turut menjaringkan gol. Kami sama-sama membantu pasukan meraih kemenangan,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Jurulatih Rovers FC, Dominic Gadia mengakui kekurangan pengalaman dan tahap kecergasan menjadi antara faktor yang mempengaruhi prestasi pasukannya.
Beliau berkata masih banyak perkara yang perlu diperbaiki oleh pasukannya selepas kembali ke tempat latihan.
Sabah FA selepas ini dijadual berdepan wakil Bangladesh.