
SERDANG, 17 Ogos – Skuad olahraga Johor memecahkan rekod 4×100 meter (m) lelaki Sukan Malaysia (SUKMA) yang berusia 10 tahun, sekali gus merangkul emas pada edisi SUKMA Selangor 2026.
- Kuartet Johor (Mohamad Haziq, Muhamad Airiel, Adam Harith, Danish Iftikhar) catat masa 39.46 saat pada final 4x100m.
- Catatan 39.46s menewaskan rekod temasya sebelum ini 39.89s yang dicatatkan Melaka pada 2016.
- Danish: kejayaan hasil kepercayaan sesama ahli pasukan; Airiel: gembira tebus kekecewaan acara 100m.
Kuartet dibarisi Mohamad Haziq Ilmani Osman, Muhamad Airiel Iskandar Rusli, Adam Harith Hairulaydel dan Danish Iftikhar Muhammad Roslee melintasi garisan penamat dengan catatan masa 39.46 saat (s) pada aksi final di Pusat Sukan Universiti Putra Malaysia (UPM).
Catatan itu mengatasi rekod temasya sebelum ini iaitu 39.89s yang dilakukan kuartet Melaka diketuai Khairul Hafiz Jantan pada edisi 2016.
Mengulas kejayaan tersebut, Danish Iftikhar berkata, pencapaian itu adalah hasil kepercayaan sesama ahli pasukan.
“Ini bukan satu keajaiban ataupun perancangan semata-mata, sebaliknya rezeki yang Allah berikan kepada kami.
“Kami saling mempercayai sebagai satu pasukan, dan alhamdulillah kami dapat mencipta rekod baharu kejohanan serta meraih pingat emas untuk Johor yang tidak kami jangkakan sama sekali,” katanya.
Sementara itu, bagi Muhamad Airiel, kejayaan itu sedikit sebanyak mengubat kekecewaan selepas gagal menaiki podium acara 100m apabila menamatkan saingan di tempat keempat.
“Semalam (Ahad) saya dah cuba buktikan kepada semua orang yang saya boleh, kemudian saya ada beritahu seluruh pasukan, saya berdoa agar dapat menebusnya semula dalam acara 4×100 meter ini.
“Saya rasa sangat bahagia dan gembira apabila dapat mencipta rekod baharu bersama rakan-rakan,” katanya.
Sebagai rekod, Johor gagal menamatkan perlumbaan pada edisi 2024 yang menyaksikan Selangor meraih pingat emas.