SUKMA 2026: Lutut cedera bukan halangan, Aimran tetap genggam emas

Atlet Perlis, Muhammad Aimran Syahir Roslin terpaksa menahan kesakitan akibat kecederaan lutut kanan yang dialaminya – Foto RTM

KUALA LUMPUR, 17 Ogos – Perlis meraih dua pingat emas dalam acara angkat berat pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 menerusi Muhammad Aimran Syahir Roslin dalam kategori lelaki bawah 71 kilogram (kg) lelaki dan Nurqalida Umrah Abdullah bagi kategori wanita bawah 58kg.

RINGKASAN BERITA AI
  • Aimran muncul juara kategori lelaki bawah 71kg dengan jumlah angkatan 275kg, catat snatch terbaik 125kg, cedera lutut semasa pemanasan.
  • Aimran, 21, gembira walau bukan angkatan terbaik; turunkan beban kerana kecederaan dan berharap dipanggil ke skuad kebangsaan.
  • Nurqalida ungguli wanita bawah 58kg dengan snatch 76kg dan clean & jerk 88kg, jumlah keseluruhan 164kg.

Aimran Syahir muncul juara selepas mengumpul angkatan keseluruhan 275kg, mengatasi Muhammad Amin Khairul Anuar dari Pahang dengan 263kg, manakala Izzat Hazmi Tanaim Ishak dari Terengganu meraih tempat ketiga dengan 256kg.

Aimran turut mencatat angkatan terbaik disiplin snatch 125kg, manakala Muhammad Amin merekodkan angkatan terbaik disiplin clean & jerk sebanyak 153kg.

Mengulas kejayaannya, Aimran berkata, kesakitan akibat kecederaan di bahagian lutut yang dialaminya semasa sesi pemanas badan sebelum pertandingan tidak melemahkan semangat beliau.

“Saya gembira dengan kemenangan hari ini walaupun bukan angkatan terbaik saya.

Saya mengalami kecederaan ketika sesi warm-up. Jadi, saya terpaksa turunkan berat angkatan saya,” katanya ketika ditemui media.

Aimran yang berusia 21 tahun menyifatkan kejayaan itu sebagai sesuatu yang disyukuri selain menyimpan hasrat untuk mendapat panggilan menyertai skuad kebangsaan pada masa akan datang.

Sementara itu, kategori wanita bawah 58kg diungguli Nurqalida Umrah Abdullah, diikuti Irene Tang Ming Jie dari Sarawak di tempat kedua dan Siti Nur Alya Maisara Suid dari Pahang di tempat ketiga.

Nurqalida turut mencatat angkatan terbaik bagi kedua-dua disiplin dengan 76kg dalam snatch dan 88kg clean & jerk, sekali gus mengumpul keseluruhan 164kg.

Saingan angkat berat yang berlangsung di Dewan Seri Cempaka, Kajang, bermula Ahad dan akan diteruskan sehingga 20 Ogos ini, dengan tiga lagi kategori bakal dipertandingkan pada Selasa iaitu wanita bawah 63kg, lelaki bawah 79kg dan wanita bawah 69kg.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.