China-Rusia kecam campur tangan luar isu kestabilan

Foto AFP

BEIJING, 22 Oktober – China dan Rusia mengecam campur tangan luar yang dianggap merosakkan kestabilan di rantau Eurasia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kenyataan bersama sempena lawatan Li Qiang: mengecam tindakan paksaan luar yang menggunakan kekerasan untuk ganggu perpaduan dan kedaulatan serantau.
  • Kedua negara memperbaharui komitmen saling menyokong dalam isu kepentingan teras dan kebimbangan utama masing-masing.
  • China menyokong usaha Rusia memelihara keselamatan, kestabilan, perpaduan, pembangunan, kedaulatan dan keutuhan wilayah; menentang campur tangan kuasa luar.

Perkara tersebut dinyatakan menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan sempena lawatan Premier China Li Qiang ke Rusia.

Dalam lawatan tersebut, Li Qiang mengadakan pertemuan dengan Presiden Rusia Vladimir Putin dan Perdana Menteri Mikhail Mishustin.

Menurut kenyataan bersama, kedua-dua negara berpandangan bahawa campur tangan luar yang bersifat merosakkan merupakan faktor utama yang menjejaskan kestabilan benua Eurasia.

“Kedua-dua pihak mengecam sekeras-kerasnya sebarang tindakan paksaan dari luar yang melibatkan penggunaan kekerasan bagi mengganggu proses perpaduan dan dan kedaulatan serantau,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan berkenaan turut menegaskan bahawa China dan Rusia turut memperbaharui komitmen untuk terus saling menyokong dalam isu yang melibatkan kepentingan teras serta kebimbangan utama masing-masing.

China juga menyatakan sokongan terhadap usaha Rusia dalam memelihara keselamatan, kestabilan, perpaduan negara, pembangunan, kemakmuran, kedaulatan serta keutuhan wilayahnya, selain menentang campur tangan kuasa luar dalam hal ehwal dalaman Rusia.

Bagaimanapun, kenyataan bersama itu tidak menyentuh mengenai kemungkinan pertemuan antara Putin, Xi Jinping dan Donald Trump yang dilaporkan sedang dalam perancangan.

Pada Rabu, pembantu Kremlin Yuri Ushakov memberitahu bahawa persiapan sedang dibuat bagi mengadakan pertemuan yang berpotensi menjadi pertemuan pertama seumpamanya melibatkan pemimpin China, Rusia dan Amerika Syarikat.

Beliau berkata, pihaknya berhasrat memasukkan pertemuan itu dalam agenda sidang kemuncak Asia-Pasifik yang dijadual berlangsung di Shenzhen, China, bulan depan.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.