SUKMA 2026: Muhammad Isyraq sumbang emas pertama Sarawak dalam tenpin boling

Atlet tenpin boling Sarawak, Muhammad Isyraq Iqbal Ramadhan mendedikasikan pingat emas yang dimenanginya dalam SUKMA 2026 kepada allahyarham ibunya. – Foto RTM

PETALING JAYA, 17 Ogos – Sarawak bermula dengan langkah kanan dalam sukan tenpin boling apabila atletnya, Muhammad Isyraq Iqbal Ramadhan, berjaya meraih pingat emas acara perseorangan lelaki pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Muhammad Isyraq mengumpul 1,331 jatuhan pin di Sunway Mega Lanes.
  • Mengatasi pencabar terdekat dengan 1,283 pin; gangsa milik atlet Pahang 1,260 pin.
  • Mendedikasikan kejayaan kepada allahyarham ibu yang meninggal tahun lalu; terharu kenang sokongan sejak umur sembilan.
  • Terjejas fokus pada permainan kelima, namun bangkit selepas nasihat jurulatih dan tunjuk peningkatan berbanding SUKMA lalu.

Dalam aksi yang berlangsung di Sunway Mega Lanes, Muhammad Isyraq mempamerkan persembahan konsisten untuk mengumpul keseluruhan 1,331 jatuhan pin.

Keunggulan yang dipamerkan wakil Bumi Kenyalang itu menyaksikan beliau meninggalkan pencabar terdekat dari Pulau Pinang, Muhammad Adam Darwish Dzulhakimy, yang terpaksa berpuas hati dengan pingat perak menerusi 1,283 jatuhan pin.

Pingat gangsa milik atlet Pahang, Muhammad Sufi Fitri Jumalis dengan kutipan 1,260 jatuhan pin.

Sementara itu, Muhammad Isyraq ketika ditemui berkata, beliau mendedikasikan kejayaan sulungnya merangkul emas di pentas SUKMA itu kepada allahyarham ibunya yang meninggal dunia tahun lalu.

Beliau juga tidak dapat menyembunyikan rasa hiba apabila mengenangkan sokongan yang pernah diberikan oleh arwah ibunya sejak mula berkecimpung dalam sukan itu pada usia sembilan tahun.

“Terima kasih kepada barisan jurulatih, rakan-rakan dan bapa saya. Kemenangan ini adalah untuk emak saya. Beliau telah tiada (meninggal dunia akibat sakit jantung) dan saya lakukannya demi beliau,” katanya ditemui selepas kejohanan di sini.

Mengulas mengenai pertandingan,  Muhammad Isyraq mengakui berdepan detik sukar pada permainan kelima apabila tumpuannya sedikit terganggu sehingga menjejaskan kutipan mata.

Bagaimanapun, beliau bangkit pada permainan keenam hasil nasihat jurulatih yang memintanya agar terus fokus pada diri sendiri dan mengabaikan tekanan pihak lawan.

“Fikiran saya cuma mahu kekal fokus. Saya abaikan semua benda di sekeliling dan hanya tumpu pada permainan saya sahaja. Walaupun saingan sengit daripada pemain senior, saya tetap yakin dengan kemampuan diri dan sokongan pasukan,” jelasnya lagi.

Kejayaan ini merupakan peningkatan membanggakan buat Muhammad Isyraq selepas hanya meraih pingat gangsa dalam acara berpasukan pada edisi SUKMA Sarawak yang lalu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.