Data lokasi Waze berpotensi ancam keselamatan negara

Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Raja Nushirwan Zainal Abidin

CYBERJAYA, 22 Oktober –Data lokasi dan corak pergerakan yang dikumpulkan menerusi aplikasi Waze berpotensi menimbulkan ancaman terhadap keselamatan negara, khususnya apabila maklumat itu boleh dianalisis menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).

RINGKASAN BERITA AI
  • Terma penggunaan Waze kini menetapkan perkhidmatan di bawah undang-undang Israel.
  • Larangan penggunaan Waze oleh penjawat awam untuk urusan rasmi kerana isu undang-undang dan tadbir data.
  • Penjawat awam disarankan menyahpasang aplikasi; orang ramai digalakkan mempertimbangkan langkah sama.
  • Kerajaan belum melarang penggunaan Waze kepada orang ramai; mengambil pendekatan berfasa dan mungkin ambil langkah tambahan.

Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Raja Nushirwan Zainal Abidin berkata, data berkenaan boleh mendedahkan corak pergerakan dan aktiviti seseorang, termasuk penjawat awam yang terlibat dalam urusan kerajaan.

“Waze mengumpul pelbagai maklumat pengguna secara terperinci termasuklah data lokasi, pergerakan dan perjalanan dan maklumat peranti dan bergantung pada tatapan peranti.”

“Maklumat ini boleh dikumpul walaupun aplikasi itu tidak digunakan secara aktif. Apabila dianalisis secara agregat, data sedemikian boleh mendedahkan corak pergerakan dan aktiviti pengguna,” katanya kepada pemberita, dalam
sidang media mengenai isu keselamatan negara, di sini.

Tambah beliau, kebimbangan kerajaan turut mengambil kira perubahan Terma Penggunaan Waze yang kini meletakkan perkhidmatannya di bawah undang-undang Israel, termasuk bagi sebarang pertikaian perundangan.

Beliau menjelaskan, keputusan melarang penggunaan Waze dalam kalangan penjawat awam bagi urusan rasmi bukan semata-mata berkaitan aspek teknologi, sebaliknya turut melibatkan undang-undang yang mentadbir data pengguna.

Pada masa sama, penjawat awam digalakkan menyahpasang aplikasi berkenaan daripada peranti masing-masing, manakala orang ramai turut disaran mempertimbangkan langkah sama bagi melindungi data peribadi.

Kerajaan bagaimanapun belum mengenakan larangan menyeluruh terhadap penggunaan Waze kepada orang ramai dan sebaliknya mengambil pendekatan berfasa melalui penerangan serta kesedaran mengenai risiko keselamatan yang dikenal pasti.

Beliau berkata, kerajaan tidak menolak kemungkinan langkah tambahan akan diambil pada masa hadapan sekiranya keadaan keselamatan memerlukannya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.