
KUALA LUMPUR, 22 Oktober – Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sedang giat melaksanakan pemulihan serta penambahbaikan aplikasi TuJu susulan peningkatan ketara jumlah pengguna, selepas kerajaan menggalakkan penggunaan aplikasi navigasi tempatan.
- LLM bersama PCSB mengenal pasti punca gangguan, memulihkan kestabilan sistem dan meningkatkan keupayaan aplikasi.
- Penambahbaikan fokus pada fungsi navigasi, ketepatan maklumat laluan dan pengalaman penggunaan mesra pengguna.
- LLM bekerjasama dengan KKR, NACSA dan pihak berkaitan untuk memperkukuh keselamatan siber serta kedaulatan digital.
LLM menerusi kenyataan berkata, tindakan bersama penyedia aplikasi, Prosignal Consortium Sdn. Bhd. (PCSB) itu diambil bagi mengenal pasti punca gangguan, memulihkan kestabilan sistem dan meningkatkan keupayaan aplikasi untuk menampung pertambahan pengguna.
“LLM turut memberi perhatian kepada maklum balas pengguna berhubung fungsi navigasi, ketepatan maklumat laluan dan pengalaman penggunaan aplikasi.
“Penambahbaikan akan terus dilaksanakan bagi memastikan TuJu dapat memberikan perkhidmatan yang lebih stabil, tepat dan mesra pengguna,” kata LLM.
Menurut LLM, usaha memperkukuh TuJu bukan sahaja tertumpu kepada kestabilan sistem, malah merangkumi peningkatan fungsi navigasi, ketepatan maklumat dan keupayaan aplikasi dalam memenuhi keperluan pengguna.
Katanya, LLM akan terus bekerjasama dengan Kementerian Kerja Raya (KKR), Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan pihak berkaitan dalam memperkukuh ekosistem navigasi tempatan selaras dengan keutamaan kerajaan untuk memperkukuh keselamatan siber dan kedaulatan digital negara.
“Maklumat lanjut mengenai status pemulihan dan penambahbaikan aplikasi TuJu akan disalurkan melalui saluran rasmi LLM dan TuJu,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melarang penjawat awam menggunakan aplikasi navigasi Waze bagi melindungi maklumat kerajaan dan data peribadi pengguna daripada ancaman penyalahgunaan rejim Israel.