Empat lelaki didakwa bunuh ahli perniagaan, mayat berlilit jaring ditemukan di sungai

Empat lelaki dituduh membunuh seorang ahli perniagaan sebelum mayat mangsa ditemukan terlilit jaring dan terapung di Sungai Tanjung Sembrong / Foto RTM

BATU PAHAT, 17 Ogos – Empat lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh seorang ahli perniagaan sebelum mayat mangsa yang terbalut dengan jaring ditemukan terapung di Sungai Tanjung Sembrong, Parit Raja, awal bulan ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Nama dan umur empat tertuduh: Yogesvaran (40), Lim Yong Ming (26), Achuthan (32), How Han Wei (33); pekerjaan: pemandu, kelindan, penjual kenderaan.
  • Didakwa mengikut Seksyen 302 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan; hukuman maut atau penjara 30-40 tahun dan sebatan minimum 12 kali.
  • Tiada pengakuan direkodkan; tiada tawaran ikat jamin; mahkamah menetapkan sebutan semula pada 14 Oktober sambil menunggu laporan forensik.
  • Mangsa Low Kai Xian dilaporkan hilang sejak 29 Julai; MPV beliau ditemui; polis menyiasat motif, kemungkinan berkaitan hutang.

Keempat-empat tertuduh ialah Yogesvaran Subramaniam, 40, Lim Yong Ming, 26, Achuthan Nagarajan, 32, dan How Han Wei, 33.

Yogesvaran yang bekerja sebagai pemandu lori, Yong Ming dan Achuthan yang masing-masing kelindan lori, serta Han Wei yang merupakan peniaga kenderaan terpakai, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh berikutan kesalahan bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, keempat-empat mereka didakwa bersama-sama membunuh Low Kai Xian, 39, di antara sebuah kedai makan di Jalan Emas Putih, Taman Sri Skudai, Johor Bahru hingga ke Sungai Tanjung Sembrong, Parit Raja, Batu Pahat.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 29 Julai hingga 3 Ogos lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun serta, jika tidak dihukum mati, sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Shahzleen Ibrahim.

Yogesvaran, Yong Ming dan Han Wei diwakili Datin Fareda Sabapathy, manakala Achuthan diwakili Sean Dodley Samuel Jayarajan.

Chuah Shyue Chien dan Kenji Soh Xin Da pula bertindak sebagai peguam pemerhati kepada keluarga mangsa.

Keempat-empat tertuduh tiba di perkarangan mahkamah kira-kira pukul 8 pagi dan dikawal ketat anggota Bahagian Siasatan Khas/Jenayah Berat (D9) polis.

Terdahulu, pihak pendakwaan memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan baharu sementara menunggu laporan bedah siasat, asid deoksiribonukleik (DNA), forensik kamera litar tertutup (CCTV) dan forensik telefon bimbit.

Tiada tawaran ikat jamin dibuat terhadap kesemua tertuduh.

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan pihak pendakwaan dan menetapkan 14 Oktober ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan berkenaan.

Sebelum ini, Kai Xian dilaporkan hilang oleh keluarganya sejak 29 Julai selepas gagal dihubungi, manakala kenderaan pelbagai guna (MPV) miliknya ditemukan di Johor Bahru.

Pada 3 Ogos lalu, polis menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan mayat kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Hasil siasatan mendapati tangan dan kaki mangsa diikat menggunakan pita pelekat, selain terdapat beberapa kesan kecederaan pada bahagian pinggang dan lengan.

Mayat mangsa kemudian dibungkus dan dililit dengan jaring sebelum lima ketul batu ditemukan diletakkan bersama dalam jaring berkenaan.

Motif kejadian masih dalam siasatan dan polis tidak menolak kemungkinan ia berpunca daripada isu hutang.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.