Tular aksi memandu berbahaya: Lelaki 65 tahun dikenakan dua saman

Tangkap layar rakaman kejadian yang tular menerusi media sosial memaparkan pemandu sebuah kenderaan memandu secara berbahaya dan hampir melanggar sebuah motosikal (gambar kecil)

LABUAN, 17 Ogos- Seorang lelaki berusia 65 tahun dikenakan dua saman selepas memandu tanpa lesen dan memotong secara berbahaya sehingga hampir melanggar sebuah motosikal di Jalan Nagalang, simpang Labuan International School di sini pada Jumaat lepas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kejadian dirakam dashcam dan tular di media sosial.
  • Pemandu dikenakan dua saman: memandu tanpa lesen (Seksyen 26(1)) dan memotong secara berbahaya (LN 166/1959).
  • Pemilik kenderaan disaman kerana membenarkan seseorang memandu tanpa lesen (Seksyen 26(1)(b)).
  • PDRM Labuan menggesa orang ramai melaporkan kesalahan lalu lintas; rakaman jelas dengan masa dan lokasi membantu tindakan.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Wan Mohd Firdaus Wan Zaki berkata kejadian kira-kira 5.39 petang itu dirakam kamera papan pemuka (dashcam) dan tular di media sosial.

Beliau berkata, ketika kejadian, kenderaan berkenaan dipandu bapa kepada pemilik kenderaan.

“Pemandu berkenaan dikenakan dua saman atas kesalahan memandu tanpa lesen di bawah Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kesalahan memotong secara berbahaya di bawah LN 166/1959.

“Pemilik kenderaan turut dikenakan saman kerana membenarkan seseorang memandu tanpa lesen di bawah Seksyen 26(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Mohd Firdaus berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) Labuan akan terus mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap mana-mana pengguna jalan raya yang melakukan pemanduan berbahaya sehingga boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.

Beliau turut menggalakkan orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan kesalahan lalu lintas kepada pihak polis.

Katanya, rakaman dashcam yang jelas serta mempunyai maklumat masa dan lokasi kejadian boleh membantu polis mengesan pesalah dan mengambil tindakan sewajarnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.