
LENS, 17 Ogos- Paris Saint-Germain (PSG) gagal meraih trofi kedua dalam tempoh lima hari selepas tewas 0-1 kepada Lens dalam Piala Super Perancis di Stade Bollaert-Delelis pada Ahad.
- Florian Thauvin menjaringkan gol tunggal pada minit ke-32 selepas kegagalan PSG mengeluarkan bola dari kawasan pertahanan.
- Lens beraksi dengan 10 pemain sejak minit ke-39 selepas Kyllian Antonio dilayangkan kad merah kerana terjahan keras.
- Nuno Mendes dilayangkan kad merah tiga minit sebelum tamat kerana mengasari sayap Lens, Michal Skoras.
- Lens menang perlawanan pertama bawah jurulatih baharu Dino Toppmoeller, menambah koleksi trofi selepas menjuarai Piala Perancis Mei lalu.
Florian Thauvin meledak gol tunggal perlawanan pada minit ke-32 selepas Lens mengambil kesempatan daripada kegagalan PSG mengeluarkan bola dari kawasan pertahanan.
Lens bagaimanapun terpaksa beraksi dengan 10 pemain sejak minit ke-39 selepas Kyllian Antonio dilayangkan kad merah kerana terjahan keras terhadap Maghnes Akliouche.
PSG gagal memanfaatkan kelebihan pemain, malah turut kehilangan Nuno Mendes yang dilayangkan kad merah tiga minit sebelum tamat perlawanan kerana mengasari pemain sayap Lens, Michal Skoras.
“Kami fikir kami layak mendapat lebih, tetapi saya perlu mengucapkan tahniah kepada Lens. Mereka menang dan bermain dengan sangat baik,” kata pengendali PSG, Luis Enrique.
Lens muncul pemenang dalam perlawanan pertama di bawah kendalian jurulatih baharu, Dino Toppmoeller, sekali gus menambah koleksi trofi selepas menjuarai Piala Perancis pada Mei lalu.
PSG sebelum ini menewaskan Aston Villa dalam Piala Super UEFA pada Rabu lalu.
Kekalahan itu menjadi persiapan terakhir PSG sebelum memulakan kempen mempertahankan kejuaraan Ligue 1 dengan menentang Rennes di laman sendiri minggu depan. -AFP