
KUALA TERENGGANU, 16 Ogos – Seorang guru ditahan reman enam hari untuk membantu siasatan kes amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar sekolah menengah di sini.
- Polis menerima laporan daripada pelajar Tingkatan Empat pada pukul 4 petang Rabu lepas.
- Kejadian didakwa berlaku pada 10 Ogos sekitar pukul 10:15 pagi.
- Guru didakwa meraba paha dan punggung, pernah memeluk dan mencium pipi mangsa; kes disiasat di bawah Seksyen 14(A).
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Azli Mohd Noor berkata, polis menerima laporan daripada pelajar Tingkatan Empat itu pada pukul 4 petang Rabu lepas.
Dalam laporan itu, pengadu mendakwa kejadian berlaku pada 10 Ogos lalu kira-kira pukul 10:15 pagi.
“Guru berkenaan bertindak melakukan amang seksual fizikal terhadap pengadu dengan meraba bahagian paha dan punggung. Pengadu turut menyatakan sebelum ini guru tersebut telah beberapa kali memeluk dan mencium pipi pengadu,” katanya.
Suspek yang berusia lingkungan lewat 40-an dan awal 50-an itu ditangkap pagi Khamis lepas.
Permohonan reman terhadap suspek dibuat di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu selama enam hari bermula 14 hingga 19 Ogos.
Kes disiasat mengikut Seksyen 14(A) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan disebat.
ACP Azli turut menasihatkan ibu bapa supaya memberi didikan awal berkenaan gangguan seksual dan memantau pergerakan harian anak-anak.