
SAUDARA PENGARANG
- Kenali 'penjajahan' dalaman: tamak, sombong, budaya fitnah dan lupa budi merosakkan integriti negara.
- Hidupkan kembali hikmah cerita rakyat untuk membentuk akhlak, disiplin, kreativiti dan literasi digital yang kritis.
- Sambutan kebangsaan mesti jadi detik muhasabah: bertindak membebaskan diri daripada sikap yang menghalang kemajuan.
Setiap kali laungan “Merdeka!” bergema sebanyak tujuh kali, kita berdiri megah mengibarkan Jalur Gemilang.
Namun, selepas gema itu berakhir, pernahkah kita bertanya kepada diri sendiri bahawa adakah kita benar-benar sudah merdeka?
Jika masih diperhambakan oleh ketamakan, keangkuhan, budaya fitnah, sikap lupa asal usul dan angan-angan kosong, apakah bezanya kita dengan bangsa yang masih dijajah?
Inilah persoalan yang perlu direnungkan oleh setiap rakyat Malaysia menjelang sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos 2026.
Kemerdekaan yang diwarisi hasil pengorbanan tokoh-tokoh terdahulu tidak seharusnya difahami sekadar sebagai pembebasan daripada penjajahan fizikal.
Setelah hampir tujuh dekad mengecapi kemerdekaan, cabaran yang sedang dihadapi negara bukan lagi datang daripada kuasa asing yang membawa senjata, sebaliknya hadir dalam bentuk yang jauh lebih halus tetapi lebih berbahaya.
Penjajah zaman ini ialah sikap tamak, budaya mementingkan diri, kerakusan mengejar kemewahan, hilangnya rasa syukur, lunturnya nilai budi dan semakin pudarnya jati diri bangsa.
Ironinya, ancaman ini telah lama diperingatkan oleh nenek moyang kita melalui cerita rakyat Melayu. Watak seperti Lebai Malang, Pak Belalang, Mat Jenin, Si Tanggang dan Pak Kaduk bukan sekadar kisah penglipur lara yang diceritakan kepada anak-anak sebelum tidur.
Di sebalik jalan ceritanya tersimpan falsafah kehidupan yang begitu mendalam. Malangnya, dalam dunia moden yang dipenuhi teknologi kecerdasan buatan, media sosial dan budaya digital, kita semakin jauh daripada menghadam hikmah yang terkandung dalam warisan tersebut.
Lebai Malang misalnya mengingatkan masyarakat bahawa ketamakan sentiasa berakhir dengan kerugian.
Dalam kehidupan hari ini, sifat tamak muncul dalam pelbagai bentuk. Ada yang sanggup mengabaikan amanah demi imbuhan yang lebih besar.
Ada yang mengejar jawatan sehingga mengorbankan prinsip. Malah tidak kurang juga yang berlumba-lumba mengejar kemewahan tanpa mempedulikan isu halal dan haram.
Sikap ini akhirnya melahirkan masyarakat yang kehilangan integriti kerana kemerdekaan yang sebenar menuntut rakyat agar bekerja dengan ikhlas, berkhidmat dengan amanah kepada negara tanpa mengharapkan balasan yang melampau.
Pak Belalang pula menjadi simbol kepada golongan yang gemar mempergunakan orang lain demi kepentingan sendiri.
Hari ini, fenomena tersebut semakin jelas kelihatan dalam dunia digital. Penyebaran berita palsu, budaya fitnah, manipulasi maklumat serta penciptaan imej palsu di media sosial menjadi senjata untuk meraih pengaruh dan populariti.
Ada yang kelihatan hebat di hadapan masyarakat, tetapi hakikatnya sekadar membina kemasyhuran atas penipuan. Sejarah membuktikan bahawa penghormatan yang dibina melalui manipulasi tidak akan kekal.
Sebaliknya, kejujuran dan integriti sentiasa menjadi asas kepada kepimpinan yang dihormati.
Tidak kurang pentingnya pula adalah kisah Mat Jenin yang sering dijadikan perlambangan kepada individu yang suka berangan-angan kosong. Watak ini sebenarnya amat dekat dengan realiti generasi hari ini.
Ramai anak muda memasang impian memiliki kereta mewah, rumah eksklusif dan kehidupan serba sempurna seperti yang dipaparkan di media sosial. Namun, impian yang tinggi tanpa usaha yang sepadan hanya akan melahirkan kekecewaan.
Dalam dunia pekerjaan yang semakin kompetitif, kejayaan bukan lagi ditentukan oleh sijil semata-mata tetapi oleh disiplin, kreativiti, kemahiran dan kesanggupan untuk terus belajar sepanjang hayat. Impian yang besar harus disertai tindakan yang lebih besar.
Cerita Si Tanggang pula mengangkat persoalan yang semakin membimbangkan dalam masyarakat moden, iaitu krisis mengenang budi. Kejayaan material sering menyebabkan seseorang lupa kepada ibu bapa, guru dan masyarakat yang membentuk kehidupannya.
Hakikatnya, tidak ada seorang pun yang berjaya tanpa doa seorang ibu, didikan seorang guru dan sokongan sebuah keluarga. Kemajuan yang tidak disertai dengan rasa syukur dan penghargaan, realitinya hanya melahirkan kejayaan yang kosong.
Janganlah dibiarkan budaya melupai asal usul ini berleluasa dalam masyarakat kerana jika tidak ditangani secara berhikmah, bakal melenyapkan jati diri individu itu sendiri.
Sementara itu, Pak Kaduk menjadi lambang masyarakat yang mudah terpedaya dengan janji-janji manis sehingga sanggup menggadaikan hak sendiri. Fenomena ini masih berlaku dalam pelbagai bentuk.
Penipuan kewangan dalam talian, skim pelaburan tidak wujud, eksploitasi data peribadi serta penyebaran maklumat yang mengelirukan menunjukkan bahawa masyarakat yang tidak mempunyai literasi digital akan berterusan menjadi mangsa.
Kemerdekaan pada abad ke-21 bukan sahaja memerlukan rakyat yang celik ilmu tetapi rakyat yang mampu berfikir secara kritis sebelum membuat keputusan.
Apa yang lebih menarik, kelima-lima watak ini sebenarnya menggambarkan lima penyakit sosial yang masih membelenggu masyarakat hari ini, iaitu tamak, penipuan, angan-angan kosong, lupa budi dan mudah diperalatkan.
Persoalannya, jika semua kelemahan ini masih menguasai diri kita, apakah makna kemerdekaan yang diraikan saban tahun?
Sesungguhnya, negara tidak akan menjadi hebat hanya kerana bangunan pencakar langitnya semakin tinggi atau ekonominya semakin berkembang.
Sesebuah negara yang bertamadun dan berperadaban tinggi perlu selari dengan kemenjadian rakyat memiliki akhlak yang tinggi, pemikiran yang matang dan semangat cintakan tanah air yang lahir daripada rasa tanggungjawab yang ikhlas.
Sejarah membuktikan bahawa tamadun besar dunia runtuh bukan semata-mata kerana serangan musuh, tetapi akibat keruntuhan nilai dalam kalangan masyarakatnya sendiri.
Justeru, bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos 2026, marilah kita mengubah cara kita memahami makna ‘merdeka’.
Janganlah sambutan ini sekadar dipenuhi kibaran Jalur Gemilang, perarakan dan bunga api tetapi kosong daripada penghayatan.
Jadikan Hari Kebangsaan sebagai detik untuk membebaskan diri daripada sikap yang menghalang kemajuan bangsa dan negara.
Bebaskan diri daripada ketamakan yang merosakkan integriti, daripada keangkuhan yang memusnahkan persaudaraan, daripada budaya fitnah yang meracuni masyarakat, daripada angan-angan yang melemahkan usaha serta daripada sikap lupa asal usul yang menghakis jati diri.
Akhirnya, laungan “Merdeka!” hanya akan benar-benar bermakna apabila ia bergema bukan sekadar di bibir, tetapi meresap ke dalam hati setiap rakyat Malaysia.
Kemerdekaan yang hakiki bukanlah bebas melakukan apa sahaja yang kita inginkan, tetapi kebebasan untuk memilih nilai yang benar, menolak kelemahan diri dan membina sebuah negara yang berteraskan ilmu, integriti dan budi pekerti.
Itulah kemerdekaan yang wajib kita wariskan kepada generasi akan datang, demi Malaysia tercinta yang bukan sahaja maju malah bermaruah sebagai masyarakat ‘MADANI’ yang diidamkan.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Dr. Rahimah Hamdan
Pensyarah
Jabatan Bahasa Melayu
Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi
Universiti Putra Malaysia
E-mel: rahimahh@upm.edu.my