MOTAC kesan pemandu pelancong, entiti tidak berlesen di Kuala Lumpur

Foto hiasan / BERNAMA

PUTRAJAYA, 15 Ogos – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mengesan pelbagai kesalahan membabitkan pemandu pelancong dan entiti tidak berlesen menerusi operasi penguatkuasaan di sekitar Kuala Lumpur, pada 12 dan 13 Ogos lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • MOTAC mengeluarkan 15 notis penguatkuasaan, termasuk sembilan notis bawah subseksyen 5(2) atas operasi perniagaan pelancongan tanpa lesen.
  • Tindakan diambil terhadap individu menjalankan pemanduan pelancong tanpa lesen di bawah subseksyen 21(1) dan kesalahan penggunaan kenderaan tidak berlesen.
  • MOTAC beri amaran: kompaun sehingga RM250,000; jika sabit denda RM500,000 atau penjara sehingga 10 tahun; lapor melalui SISPAA.

Operasi itu membabitkan pemeriksaan di tiga lokasi pelancongan, sembilan premis perniagaan dan tiga individu, dengan 15 notis pemeriksaan dikeluarkan terhadap pelbagai kesalahan di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) serta perundangan subsidiari berkaitan.

MOTAC dalam kenyataan hari ini berkata, daripada jumlah berkenaan, sembilan notis adalah di bawah subseksyen 5(2) kerana menjalankan perniagaan pelancongan tanpa lesen yang sah.

“Risikan dengan kerjasama Persatuan Pemandu Pelancong Kuala Lumpur (KLTGA) mendapati terdapat beberapa individu yang disyaki menjalankan aktiviti pemanduan pelancong tanpa lesen yang sah.

“Tindakan penguatkuasaan di bawah subseksyen 21(1) turut diambil terhadap individu yang menjalankan pemanduan pelancongan tanpa lesen yang sah,” katanya.

Operasi turut mengesan kesalahan lain termasuk penggunaan kenderaan persendirian atau tidak dilesenkan bagi tujuan pengangkutan pelancong serta kegagalan mematuhi syarat lesen yang ditetapkan.

Menurut MOTAC, kenderaan persendirian atau tidak dilesenkan bagi tujuan pengangkutan pelancong yang dikenal pasti akan ditangani dengan kerjasama Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Siasatan lanjut akan diteruskan sebelum tindakan perundangan diambil terhadap kesalahan yang melibatkan individu, entiti, pemilik dan pihak yang berkaitan,” katanya.

MOTAC turut memberi amaran tegas kepada mana-mana pihak tidak berlesen supaya tidak menawarkan perkhidmatan pelancongan termasuk pemanduan pelancong, pengangkutan, penginapan atau penganjuran aktiviti pelancongan sama ada secara dalam talian, media sosial, fizikal atau medium lain.

Pihak yang terbabit boleh dikompaun maksimum RM250,000 atau, jika disabitkan kesalahan, dikenakan denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya di bawah Akta 482.

MOTAC berkata, penguatkuasaan undang-undang akan terus dilaksanakan secara menyeluruh, tegas dan berkesan bagi memastikan industri pelancongan negara beroperasi berlandaskan prinsip tadbir urus yang baik, integriti dan akauntabiliti.

Orang ramai serta penggiat industri turut dialu-alukan menyalurkan maklumat mengenai aktiviti pelancongan yang disyaki melanggar undang-undang dan peraturan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) MOTAC.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.