KKM rangka tiga strategi utama tangani kekurangan jururawat

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berucap pada Istiadat Konvokesyen Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (Zon Sabah) di Dewan Canselor, Universiti Malaysia Sabah (UMS)

KOTA KINABALU, 15 Ogos — Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggariskan tiga strategi utama bagi menangani kekurangan tenaga kesihatan, khususnya jururawat di seluruh negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tingkatkan pengeluaran jururawat: kapasiti pelatih dinaikkan dan penyumberluaran ke IPTA/IPTS untuk memenuhi keperluan perjawatan.
  • Perluasan laluan kerjaya: 15 program On-The-Job Training serta Diploma Peralihan bagi Jururawat Masyarakat tingkatkan kepakaran tanpa tinggalkan tugasan.
  • Pengambilan terus dan autonomi: graduan ILKKM diserap ke jawatan tetap dan KKM diberi kuasa urus perjawatan untuk penempatan segera.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, strategi itu ialah meningkatkan pengeluaran graduan, memperluas laluan kerjaya serta melaksanakan pengambilan terus dan autonomi.

“Strategi pertama, pengambilan jururawat pelatih ditingkatkan kepada 3,000 orang setahun mulai 2025, selain menyasarkan penyumberluaran sehingga 2,000 pelatih setahun ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS).

“Ketika ini terdapat 10,557 kekosongan kejururawatan daripada keseluruhan 73,281 perjawatan Jururawat Gred U5 di fasiliti kesihatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Istiadat Konvokesyen Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (Zon Sabah) di Dewan Canselor, Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Bagi strategi kedua, KKM akan memperluas laluan kerjaya menerusi 15 Program On-The-Job Training yang akan dimulakan September ini.

Program itu membolehkan petugas meningkatkan kepakaran tanpa perlu meninggalkan tempat bertugas untuk tempoh panjang.

KKM turut memperluas laluan Jururawat Masyarakat untuk menjadi Jururawat menerusi Diploma Peralihan.

Sementara itu, strategi ketiga membabitkan pengambilan terus dan autonomi.

Semua graduan Diploma Kejururawatan ILKKM yang lulus dan berdaftar dengan Lembaga Jururawat Malaysia akan diserap terus ke jawatan tetap susulan kelulusan pengecualian Lantikan Kontrak Interim oleh Jabatan Perkhidmatan Awam.

Mulai 9 Julai 2026, KKM turut diberikan kuasa autonomi menguruskan perjawatan bagi mengurangkan birokrasi dan memastikan graduan dapat ditempatkan terus di lapangan.

Dalam pada itu, Dzulkefly memaklumkan empat cawangan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) akan dibuka semula menjelang Oktober 2027 di Kuantan, Kuala Terengganu, Muar dan Pulau Pinang, dengan tambahan kapasiti kira-kira 500 pelatih.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.