PERKESO salur bantuan bulanan kepada keluarga individu maut bantu mangsa kemalangan

PERKESO salurkan bantuan bulanan kepada keluarga Allahyarham Mohd Khairi Manan / Foto RTM

KUALA PERLIS, 14 Ogos – Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Perlis menyalurkan Faedah Orang Tanggungan (FOT) sebanyak RM1,629 sebulan kepada keluarga Allahyarham Mohd Khairi Manan, 39 tahun yang maut selepas dirempuh sebuah kenderaan ketika membantu mangsa kemalangan.

RINGKASAN BERITA AI
  • PERKESO Perlis menyalurkan Faedah Orang Tanggungan RM1,629 sebulan kepada keluarga pekerja yang maut akibat dirempuh semasa membantu mangsa kemalangan.
  • PERKESO menyatakan kelayakan berdasarkan rekod caruman terakhir pada Julai 2026.
  • Selepas dokumen lengkap, kes diselesaikan dalam tempoh dua hari dan bayaran pengurusan mayat diuruskan lebih awal.
  • Isteri menyifatkan bantuan penting untuk menampung bil, ansuran bulanan dan keperluan makanan keluarga.

Allahyarham yang bekerja sebagai Pembantu Am di FGV Integrated Farming Holdings Sdn. Bhd. maut dalam kejadian di Jalan Kuala Perlis-Changlun pada 4 Ogos lalu.

Pengarah PERKESO Perlis, Ahmad Firdaus Hashim berkata, Allahyarham layak menerima faedah berkenaan berdasarkan rekod caruman terakhir pada Julai 2026.

Katanya, FOT merupakan bayaran berkala berbentuk pencen kepada balu dan anak-anak Allahyarham bagi membantu meringankan beban kewangan keluarga selepas kehilangan pencari nafkah.

“Untuk kes Allahyarham Mohamad Khairi Manan, PERKESO telah menyalurkan Faedah Orang Tanggungan kepada isteri dan anak-anak.

Bantuan ini diharap dapat membantu keluarga Allahyarham. Selepas menerima dokumen lengkap, kita dapat menyelesaikan kes ini dalam tempoh dua hari,” katanya ketika membuat kunjungan Ziarah Prihatin PERKESO di sini, hari ini.

Dalam kunjungan itu, Skuad PERKESO Prihatin turut menyerahkan sumbangan Kotak Prihatin serta baucar bayaran Faedah Pengurusan Mayat kepada keluarga Allahyarham.

Turut hadir, Ketua FGV Integrated Farming Holdings Chuping, Mohd Halil Mohamad Alip.

Menurutnya, PERKESO turut menguruskan bayaran Faedah Pengurusan Mayat terlebih dahulu selepas menerima laporan berhubung kemalangan berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira 7.25 pagi itu, Allahyarham disahkan meninggal dunia di lokasi akibat mengalami kecederaan parah.

Sementara itu, balu Allahyarham, Fauzian Sazali berkata, bantuan berkenaan amat bermakna dalam membantu dirinya dan keluarga meneruskan kehidupan termasuk membayar bil dan ansuran bulanan serta keperluan makanan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.