
NARITA, 14 Ogos – Sekurang-kurangnya lima orang maut akibat hujan lebat luar biasa yang melanda timur Jepun selain menyebabkan ribuan orang terkandas di Lapangan Terbang Narita di sini serta mengganggu perkhidmatan jalan raya dan kereta api.
- Amaran hujan lebat tahap tertinggi dikeluarkan untuk wilayah Chiba buat pertama kali, disertai amaran tanah runtuh dan gangguan bekalan elektrik.
- Lebih 10 kenderaan ditinggalkan di jalan rendah selepas dinaiki air di kawasan luar bandar Chiba.
- Hampir 26,000 isi rumah di seluruh Chiba terputus bekalan elektrik; ratusan penduduk terpaksa bermalam di pusat perlindungan.
- Agensi Meteorologi Jepun berkata keadaan hujan menunjukkan tahap yang "belum pernah berlaku sebelum ini"; saintis kaitkan cuaca ekstrem dengan aktiviti manusia.
Hujan lebat yang melanda pada Khamis itu turut mencetuskan amaran tanah runtuh dan gangguan bekalan elektrik, selain pihak berkuasa cuaca mengeluarkan amaran hujan lebat tahap tertinggi bagi wilayah Chiba buat kali pertama.
Menerusi tinjauan di kawasan luar bandar Chiba, lebih 10 kenderaan ditinggalkan di jalan yang rendah akibat dinaiki air.
Di Lapangan Terbang Narita pula, penumpang terpaksa bermalam di terminal menggunakan beg tidur, manakala barisan panjang turut terbentuk di kaunter daftar masuk.
Seorang pengembara dari United Kingdom (UK) yang dikenali sebagai Philip berkata, dia mengambil masa sembilan jam untuk sampai ke lapangan terbang, termasuk perjalanan menaiki teksi sebelum tiba pada pagi Jumaat.
“Saya hanya perlu teruskan sahaja. Tiada apa lagi yang boleh dilakukan,” katanya.
Dalam mesyuarat pengurusan bencana Chiba yang diadakan pada Jumaat, seorang pegawai mengesahkan lima kematian.
Sebelum ini, pihak berkuasa wilayah melaporkan mangsa termasuk seorang lelaki berusia antara 60 hingga 70 tahun ditemukan terapung di jalan dinaiki air serta wanita berusia 66 tahun yang terperangkap di dalam kenderaan ditenggelami air.
Mangsa lain termasuk seorang lelaki yang belum dikenal pasti usianya, ditemukan rebah di jalan, serta seorang lagi mangsa yang belum dikenal pasti jantina dan usianya.
Penyiar awam NHK melaporkan jumlah kematian mungkin mencecah lapan orang. Sementara itu, hampir 26,000 isi rumah di seluruh Chiba terputus bekalan elektrik.
Lebih 80 rumah dilaporkan dinaiki air di bandar termasuk Ichikawa, Kashiwa dan Sakura, manakala hampir 90 rumah lagi mengalami kemasukan air di bawah lantai.
“Saya tidak pernah terfikir akan bermalam di lapangan terbang, tetapi keadaan sudah berlaku dan kami sedang belajar daripadanya. Kami tidak akan melupakan keadaan ini,” katanya.
Pegawai Agensi Meteorologi Jepun (JMA) dalam sidang media pada Khamis memklumkan, keadaan hujan ketika itu menunjukkan ia boleh mencapai tahap yang “belum pernah berlaku sebelum ini”.
Kira-kira 6,000 orang terkandas di Lapangan Terbang Narita, salah satu daripada dua lapangan terbang utama yang menghubungkan Tokyo, selepas banyak perkhidmatan kereta api dari dan ke lapangan terbang itu dibatalkan sehingga Jumaat.
Pengguna media sosial turut memaklumkan bahawa kakitangan lapangan terbang mengagihkan air, makanan dan beg tidur secara percuma kepada penumpang yang terkandas. Ratusan orang turut terkandas di Stesen Chiba berikutan perkhidmatan kereta api dihentikan.
NHK melaporkan ratusan penduduk terpaksa bermalam di pusat perlindungan di Chiba, selain menyiarkan keadaan kenderaan yang ditenggelami air sehingga paras lampu hadapan di bandar Kashiwa.
“Ini berlaku secara tiba-tiba dan benar-benar mengejutkan. Bekalan elektrik terputus, jadi saya bimbang sama ada boleh membuka perniagaan dalam tempoh beberapa hari akan datang,” kata seorang wanita di Ichikawa, Chiba.
Semua amaran hujan lebat tahap lima diturunkan kepada tahap empat pada pagi Jumaat. Menurut saintis, perubahan iklim yang ekstrem dan tidak menentu juga disumbang aktiviti manusia.- REUTERS