Perketat pendaftaran RXZ Members, wajibkan kemuka lesen memandu dan kenderaan

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli / Foto Facebook JPJ

PUTRAJAYA, 13 Ogos – Mewajibkan peserta untuk mengemukakan maklumat lesen memandu dan lesen kenderaan, antara cadangan Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) kepada pihak penganjur RXZ Members bagi memperketatkan lagi proses pendaftaran peserta.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penganjur tidak menghalang cadangan JPJ dan menyatakan komitmen untuk melaksanakannya.
  • Penambahbaikan proses pendaftaran penting untuk memastikan pematuhan undang-undang dan pengurusan keselamatan berkesan.
  • JPJ guna libat urus untuk tingkatkan pendidikan jalan raya sebelum penguatkuasaan tegas, dan menghargai peranan media.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata cadangan itu dikemukakan kepada penganjur dalam sesi libat urus bersama pada 12 Ogos yang bertujuan menambah baik aspek keselamatan serta pematuhan undang-undang sepanjang penganjuran himpunan permotoran.

“Penganjur tiada halangan dengan cadangan yang telah dikemukakan oleh JPJ. Malah, penganjur turut menyatakan komitmen untuk melaksanakannya.

“Sebahagian cadangan itu juga telah dikuat kuasakan dalam penganjuran sebelum ini namun ada segelintir peserta berdegil tidak mematuhinya sehingga mencemarkan imej program,” katanya.

Jelas beliau lagi, penambah baikan proses pendaftaran itu penting dalam memastikan peserta RXZ Members mematuhi undang-undang jalan raya yang ditetapkan sekali gus membantu penganjur dan pihak berkuasa mengurus aspek keselamatan dengan lebih berkesan.

Beliau berkata demikian selepas sesi libat urus media bersama pengurusan tertinggi JPJ di sini.

Sesi libat urus tersebut menjadi antara pendekatan JPJ secara berperingkat bagi meningkatkan tahap pendidikan dan kesedaran mengenai peraturan jalan raya, sebelum sebarang tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas diambil.

Selain itu, Datuk Aedy turut menzahirkan penghargaan atas peranan pengamal media dalam membantu menyampaikan dasar dan inisiatif jabatan secara tepat kepada masyarakat.

“Kerjasama media penting bagi meningkatkan kefahaman orang ramai selain memperkukuh usaha JPJ menangani isu keselamatan jalan raya,” katanya lagi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.