
SUBANG, 13 Ogos – Pakatan Harapan (PH) yakin Parti Tindakan Demokratik (DAP) akan mengutamakan kepentingan negara dan kestabilan politik dalam setiap pertimbangan menjelang Persidangan Kebangsaan DAP 2026 pada Ahad ini.
- Saifuddin berkata DAP tidak perlu memberi taklimat kepada PH sebelum membuat keputusan selaras dasar serta pendekatan politik mereka.
- Persidangan Kebangsaan DAP 2026 menghimpunkan lebih 4,200 perwakilan menentukan hala tuju dan perancangan parti.
- Sebarang ketetapan mengenai kedudukan dalam Kerajaan Perpaduan atau dasar utama ditentukan secara kolektif oleh perwakilan.
Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata sebagai sebuah parti yang sudah lama bertapak, DAP mempunyai kebijaksanaan dalam mengambil kira keperluan untuk mengekalkan kestabilan politik.
“Saya percaya kepimpinan DAP mempunyai kebijaksanaan tersendiri. Sebagai sebuah parti yang matang, DAP tentunya meletakkan kepentingan negara dan kestabilan politik sebagai keutamaan, selain memastikan keadaan baik yang sedang berjalan dapat diteruskan.
“DAP tidak perlu memberi taklimat kepada PH untuk membuat sebarang keputusan yang sesuai dengan dasar serta pendekatan politik mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penerimaan Helikopter AW189 di Stesen Udara Maritim Subang, di sini.
Persidangan Kebangsaan DAP 2026 yang dijadualkan berlangsung pada Ahad ini bakal menghimpunkan lebih 4,200 perwakilan dari seluruh negara bagi menentukan hala tuju serta perancangan parti tersebut.
Sebarang ketetapan berkaitan kedudukan parti itu dalam Kerajaan Perpaduan atau dasar utama lain akan ditentukan secara kolektif oleh para perwakilan menerusi persidangan berkenaan.