
SIK, 13 Ogos – Sebanyak 76 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) pelbagai warganegara telah dihantar pulang ke negara asal masing-masing melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA Terminal 1 dan KLIA Terminal 2).
- PATI melibatkan warganegara Bangladesh, India, Pakistan, Indonesia, China, Vietnam, Tunisia dan Mesir.
- Semua ditahan di Depot Imigresen Belantik, Sik dan selesai menjalani hukuman mengikut undang-undang sebelum dipindahkan.
- Kos penerbangan ditanggung oleh tahanan, ahli keluarga atau kedutaan; mereka turut disenarai hitam dalam sistem Imigresen.
Kesemua mereka terdiri daripada 67 lelaki, lapan wanita dan seorang kanak-kanak lelaki, melibatkan warganegara Bangladesh, India, Pakistan, Indonesia, China, Vietnam, Tunisia dan Mesir.
Menurut kenyataan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Kedah, kesemua PATI berkenaan sebelum ini ditahan di Depot Imigresen Belantik, Sik, dan telah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan sebelum proses pemindahan dilaksanakan.
Kos penerbangan bagi proses penghantaran pulang tersebut ditanggung oleh tahanan sendiri, ahli keluarga serta kedutaan negara masing-masing.
“Sebagai langkah penguatkuasaan berterusan, kesemua PATI yang dipindahkan turut disenarai hitam dalam sistem Jabatan Imigresen Malaysia bagi menghalang sebarang cubaan memasuki semula Malaysia pada masa akan datang,” menurut kenyataan itu.
Program pemindahan PATI ini merupakan sebahagian daripada tindakan penguatkuasaan berterusan dalam usaha membanteras kehadiran dan aktiviti PATI di negara ini.
Imigresen Negeri Kedah akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan meliputi aktiviti pengesanan, penahanan, pendakwaan serta penghantaran pulang PATI bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam, selain memelihara kedaulatan Malaysia.