104 warga asing ditahan di tapak pembinaan

104 PATI pelbagai warganegara ditahan / Imigresen Negeri Kedah

LANGKAWI, 13 Ogos – Seramai 104 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) pelbagai warganegara ditahan dalam Op Sapu di sebuah tapak pembinaan di Pantai Tengah, di sini pada Rabu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi melibatkan 15 pegawai Imigresen dan pemeriksaan terhadap 129 individu.
  • PATI lelaki ditahan, majoriti warga Bangladesh dan Indonesia, berumur antara 22 hingga 57 tahun.
  • Disyaki melanggar Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b).
  • Imigresen akan terus melaksanakan penguatkuasaan, tindakan terhadap majikan yang menggaji atau melindungi PATI; orang ramai diminta melapor.

Operasi yang bermula pada pukul 3.15 petang itu melibatkan 15 pegawai Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Kedah dengan pemeriksaan dijalankan terhadap 129 individu.

Daripada jumlah tersebut, lapan merupakan warganegara Malaysia, manakala 100 warga Bangladesh, dua warga Myanmar dan 19 warga Indonesia.

Menurut kenyataan Imigresen Negeri Kedah, hasil pemeriksaan mendapati seramai 104 PATI lelaki ditahan, terdiri daripada 91 warga Bangladesh dan 13 warga Indonesia, berusia antara 22 hingga 57 tahun.

Mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155), serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Sepanjang operasi berkenaan, sebanyak satu Borang IMM.29 (Saman Kepada Saksi) turut dikeluarkan bagi membantu siasatan.

Kesemua warga asing yang ditahan kemudiannya dibawa ke Depot Imigresen Belantik, Sik, Kedah untuk tindakan dan siasatan lanjut.

“Imigresen Negeri Kedah menegaskan bahawa operasi penguatkuasaan akan terus dilaksanakan secara berterusan tanpa sebarang kompromi bagi membanteras kehadiran PATI di negeri ini.

“Tindakan tegas turut akan diambil terhadap mana-mana majikan atau individu yang didapati menggaji, melindungi atau memberikan perlindungan kepada warga asing yang melanggar undang-undang imigresen,” menurut kenyataan tersebut.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kehadiran PATI atau sebarang pelanggaran undang-undang imigresen disaran menyalurkan maklumat melalui talian 04-733 3302, e-mel aduanpati.kdh@imi.gov.my atau Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA).

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.