
KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Hubungan ekonomi Malaysia-Hong Kong terus diperkukuh menerusi pembaharuan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan InvestHK, dengan fokus memperluas peluang pelaburan dua hala serta membuka akses pasaran lebih luas ke ASEAN dan China.
- Perjanjian MoU memperkukuh kerjasama mempromosi pelaburan bernilai tambah dan memudahkan pelabur Hong Kong melabur di Malaysia.
- Kerjasama tingkatkan keterhubungan ekosistem perniagaan untuk usahasama dan integrasi rantaian bekalan antara kedua-dua pihak.
- Tumpuan sektor termasuk semikonduktor, elektronik, pembuatan maju, ekonomi digital, tenaga baharu dan farmaseutikal.
- Perdagangan dan FDI meningkat; eksport tinggi ke Hong Kong serta Hong Kong antara lima sumber utama pelaburan langsung asing Malaysia.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Sim Tze Tzin berkata, Hong Kong kekal sebagai antara rakan pelaburan penting Malaysia, selain menawarkan kelebihan strategik sebagai pintu masuk bagi syarikat tempatan meneroka pasaran China.
“Malaysia berpotensi besar untuk menjadi pintu masuk syarikat Hong Kong ke pasaran ASEAN yang mempunyai populasi lebih 680 juta penduduk.
“Saya juga ingin mengalu-alukan para pelabur Hong Kong untuk memanfaatkan 17 Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia, yang mana sembilan daripadanya merupakan FTA pelbagai hala seperti Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), ASEAN dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP),” katanya selepas menyaksikan majlis pemeteraian MoU antara MIDA dan InvestHK di sini, hari ini.
Tambahnya, Malaysia turut mempunyai lapan FTA dua hala dan sedang berusaha merealisasikan FTA Malaysia- Kesatuan Eropah (EU).
Di bawah MoU yang diperbaharui itu, kedua-dua agensi akan memperkukuh kerjasama dalam mempromosikan pelaburan bernilai tambah tinggi, memudah cara syarikat Hong Kong untuk melabur di Malaysia serta membantu syarikat tempatan mengembangkan perniagaan ke Hong Kong.
Kerjasama itu turut merangkumi usaha meningkatkan keterhubungan ekosistem perniagaan bagi membolehkan usahasama dan integrasi rantaian bekalan, selain menyokong misi pelaburan, seminar serta aktiviti padanan perniagaan antara kedua-dua pihak.
Antara sektor berpotensi yang diberi tumpuan ialah semikonduktor dan elektronik, pembuatan maju, ekonomi digital, tenaga baharu serta farmaseutikal.
Majlis pemeteraian MoU disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid dan Pengarah Urusan Promosi Pelaburan InvestHK, Alpha Lau.
Pembaharuan MoU itu merupakan kemas kini kepada perjanjian asal yang ditandatangani pada 2014, sekali gus mencerminkan bidang kerjasama baharu serta perubahan keutamaan ekonomi Malaysia dan Hong Kong.
Dalam perkembangan perdagangan, eksport Malaysia ke Hong Kong tahun lalu mencatat prestasi memberangsangkan pada paras tertinggi AS$22.5 bilion, manakala import dari Hong Kong berjumlah AS$4.7 bilion.
Hong Kong turut berada dalam kelompok lima sumber utama pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia, dengan pelaburan diluluskan menerusi MIDA berjumlah AS$1.74 bilion pada tahun sama.