Pelan keselamatan lapangan terbang dibentang kepada Jemaah Menteri minggu depan

Facebook: Kementerian Dalam Negeri (KDN)

KOTA BHARU, 12 Ogos- Kawalan keselamatan di lapangan terbang negara akan diperkukuh menerusi pelan penambahbaikan yang bakal dibentangkan kepada Jemaah Menteri minggu depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelan penambahbaikan merangkumi koordinasi, latihan, infrastruktur dan logistik bagi meningkatkan keselamatan lapangan terbang.
  • Semua agensi kawal selia termasuk AKPS dan CAAM diarahkan mengemukakan pelan keselamatan yang komprehensif.
  • Pemantauan CCTV di KLIA diperkuat, titik buta diatasi, dan kakitangan dipastikan mempunyai standard latihan ditetapkan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pelan itu meliputi aspek koordinasi, latihan, infrastruktur dan logistik.

“Pembentangan (pelan) itu akan dilakukan sama ada oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) atau Kementerian Pengangkutan (MOT),” katanya.

Katanya, semua agensi kawal selia termasuk Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) diarahkan mengemukakan pelan penambahbaikan keselamatan yang komprehensif.

Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Seri Saifuddin berkata KDN akan menambah baik pemantauan kamera litar tertutup (CCTV) terutama di kawasan titik buta Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Ada 5,000 CCTV di KLIA1 dan KLIA2. Isunya bukan CCTV. Kalau ada kawasan blind spot (titik buta), itu akan kita tambah baik. Beberapa perolehan sedang dilaksanakan termasuk CCTV serta peralatan dan infrastruktur lain.

“Kita juga perlu memastikan anggota yang mengawasi dan memantau sistem berkenaan mempunyai standard latihan ditetapkan.

“Itu semua aspek penambahbaikan yang akan kita lakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menziarahi keluarga Allahyarham Lans Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim, 29, di Kampung Hutan Pasir, Ketereh, di sini, yang maut akibat renjatan elektrik di Beaufort, Sabah, 6 Ogos lalu.

Mengulas penahanan seorang juruterbang Malaysia Airlines di Indonesia, Datuk Seri Saifuddin berkata kerajaan memandang serius insiden itu kerana ia bukan sahaja membabitkan soal keselamatan lapangan terbang, malah menjejaskan nama baik negara.

Menurut beliau, insiden itu membabitkan laluan keluar negara (outbound) yang dikawal petugas keselamatan penerbangan, manakala aspek kemasukan (inbound) turut membabitkan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan agensi berkaitan.

Media sebelum ini melaporkan seorang juruterbang Malaysia Airlines berusia 39 tahun ditahan pihak berkuasa Indonesia di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta kerana didakwa cuba menyeludup kira-kira 25 kilogram dadah jenis ekstasi dan syabu ke negara itu.

Ujian air kencing yang dijalankan pihak berkuasa Indonesia turut mendapati suspek positif beberapa jenis dadah.

Semalam, media melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) diberi kebenaran selama dua hari untuk menemubual juruterbang berkenaan, manakala Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan empat pegawainya dihantar ke Indonesia bagi tujuan berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.