
KOTA BHARU, 12 Ogos – Tahap keselamatan di Pantai Timur Sabah kini jauh lebih baik dan meyakinkan selepas usaha hampir 13 tahun bagi memastikan kawasan berkenaan kembali aman menerusi kawalan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).
- Menteri membawa 14 duta asing melihat sendiri keselamatan Pantai Timur Sabah melalui lawatan lapangan.
- Program libat urus: penginapan tiga hari dua malam, lawatan hutan dan Pulau Tengah, serta sesi interaksi dan soal jawab.
- Beberapa negara termasuk Amerika Syarikat dan Jepun telah meneliti semula nasihat perjalanan; ketibaan pelancong terutama dari China, Eropah dan Asia Timur meningkat.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, insiden Lahad Datu pada 13 tahun lalu bukan sahaja memberi kesan kepada rakyat sebaliknya menjejaskan sektor pelancongan di kawasan berkenaan.
“Apabila kita berusaha hampir 13 tahun dan keadaan sekarang jauh lebih baik serta meyakinkan, tentunya kita perlu melaksanakan program libat urus supaya negara-negara luar yakin dengan tahap keselamatan kita.
“Cara yang paling mudah ialah membawa duta-duta asing dan perwakilan asing datang sendiri untuk melihat keadaan di lapangan. Mereka boleh tinggal selama tiga hari dua malam, masuk ke hutan, pergi ke Pulau Tengah dan merasai sendiri pengalaman tersebut.
“Mereka juga boleh berinteraksi serta mengemukakan soalan secara langsung kepada kita. Hasrat kita, pada akhir lawatan, mereka akan menasihati negara masing-masing untuk menyemak semula atau mengkaji semula apa yang dipanggil sebagai nasihat perjalanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas mengunjungi keluarga Allahyarham Lans Koperal, Mohamad Nur Hafiz Ibrahim, 29 tahun, yang meninggal dunia akibat renjatan elektrik di Sabah, Khamis lalu di Kampung Hutan Pasir, Ketereh, Kota Bharu,Kelantan hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam tempoh tiga tahun ini sejak program dilakukan, Amerika Syarikat dan Jepun antara negara yang sudah mengubah atau meneliti semula nasihat perjalanan.
Katanya, peningkatan ketara dapat dilihat daripada segi ketibaan pelancong ke pantai timur Sabah, dengan penyumbang terbesar ialah pelancong dari China, diikuti negara-negara Eropah khususnya Jerman dan United Kingdom, selain Amerika Syarikat serta negara-negara Asia Timur.