Taktik campur pewarna dalam minyak masak subsidi terbongkar

Sindiket mencampur pewarna dalam minyak masak bersubsidi bagi mengaburi pihak berkuasa/ RTM

SEBERANG JAYA, 12 Ogos- Taktik sindiket penyelewengan minyak masak bersubsidi mencampurkan pewarna ke dalam minyak sebelum menjualnya semula sebagai minyak terpakai terbongkar dalam Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) di tiga premis sekitar Seberang Perai.

RINGKASAN BERITA AI
  • Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM95,000.
  • Sindiket membeli minyak bersubsidi dalam pek, memotong pek, mencampur pewarna dan mengisi tangki IBC untuk dijual semula sebagai minyak terpakai.
  • Ditemui 3,150 kilogram minyak bersubsidi, tangki IBC, set pam dan sebuah kenderaan pacuan empat roda.
  • Seorang lelaki 51 tahun ditahan dan akan direman bagi membantu siasatan lanjut.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang S. Jegan berkata nilai keseluruhan rampasan dalam operasi itu dianggarkan sejumlah RM95,000.

Beliau berkata hasil risikan selama sebulan mendapati sindiket terbabit membeli minyak masak bersubsidi dan mencampurkannya dengan pewarna untuk dijual sebagai minyak terpakai pada harga RM3.50.

“Kita dapati minyak lebihan itu bukan untuk dibekalkan kepada orang awam, sebaliknya dijual sebagai minyak terpakai untuk digunakan semula.

“Mereka membeli minyak masak dalam paket, memotong paket berkenaan, mencampurkan pewarna sebelum memasukkannya ke dalam tangki Intermediate Bulk Container (IBC) untuk dijadikan minyak terpakai dan dijual pada harga RM3.50,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata hasil risikan itu turut membawa kepada penemuan 3,150 kilogram minyak masak bersubsidi, tangki IBC, set pam dan sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Susulan itu, seorang lelaki berusia 51 tahun akan direman di Mahkamah Majistret Kulim bagi membantu siasatan lanjut.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.