
SERDANG, 12 Ogos – Lebih RM58 juta nilai jualan langsung disasar menerusi penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026.
- Sasar potensi pelaburan sebanyak RM8 bilion melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA).
- Menjadikan MAHA sebagai platform perdagangan untuk memadukan petani, usahawan dan pelabur bagi kembangkan pasaran dalam dan luar negara serta nilai perniagaan.
- Mensasarkan lebih 4 juta pengunjung termasuk 800,000 golongan belia, bagi memastikan impak jangka panjang dan menarik minat generasi pelapis.
Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Isham Ishak berkata, MAHA 2026 turut menyasarkan potensi pelaburan sebanyak RM8 bilion menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA).
Sasaran itu melebihi pencapaian MAHA 2024 yang merekodkan nilai jualan lebih RM48.55 juta dan nilai pelaburan RM7.2 bilion menerusi kira-kira 81 MoU yang dimeterai.
“Kita ingin menjadikan platform MAHA ini sebagai satu platform perdagangan. Bukan sahaja dari segi pertanian tersebut kita nak lihat dari segi pembangunan ekonomi balik kepada pembangunan ekonomi dan juga sosial dimana platform perdagangan ni bukan sahaja untuk petani tetapi kepada usahawan, pelabur-pelabur untuk kita pertemukan mereka di platform ini.
“Usaha itu turut memberi tumpuan nak bawa pembeli, pelabur-pelabur dan juga pemain industri bersama-sama untuk kita ciptakan nilai-nilai peluang peniagaan melalui produk-produk yang kita hasilkan. Bukan sahaja untuk pasaran dalam negara tetapi untuk luar negara selain menarik lebih ramai golongan belia menyertai sektor berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam sidang media khas bersempena dengan penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di sini hari ini
Dalam pada itu, beliau berkata MAHA 2026 turut menyasarkan lebih empat juta pengunjung termasuk penglibatan aktif 800,000 golongan belia.
“Kita mahu memastikan MAHA 2026 ini memberi impak bukan sahaja kepada industri hari ini tetapi untuk generasi pelapis kita pada masa hadapan.
“Kita yakin insya-Allah dengan penyertaan belia ini akan memberi semangat baru dalam agenda keterjaminan makanan dan untuk kita meningkatkan lagi minat dalam bidang pertanian,” katanya lagi.
Bertemakan ‘Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan’, MAHA 2026 akan berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 September di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, dengan penglibatan lebih 2,000 pempamer dari dalam dan luar negara.