
KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Penangguhan pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Lembaga Tabung Haji (TH) bertujuan memberi ruang kepada institusi itu melaksanakan syor yang dikemukakan, selain memulihkan kedudukan kewangan organisasi.
- TH telah melaksanakan pelan pemulihan sejak 2018 namun masih berdepan aset legasi bermasalah.
- Krisis keyakinan 2019 menyebabkan pengeluaran kira-kira RM6 bilion oleh pendeposit dalam tempoh singkat.
- Kini laporan RCI didedahkan kepada rakyat selepas kedudukan TH lebih kukuh.
- Kerajaan menzahirkan penghargaan kepada pengurusan baharu dan semua pihak terlibat atas kejayaan pemulihan TH.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr. Zulkifli Hasan berkata, meskipun TH telah melaksanakan pelan pemulihan sejak 2018, institusi itu masih berdepan cabaran menguruskan aset legasi yang kurang berdaya saing dan bermasalah.
Menurut beliau, kerajaan turut mengambil kira krisis keyakinan yang berlaku pada 2019 apabila kira-kira RM6 bilion dikeluarkan oleh pendeposit dalam tempoh singkat.
“Dalam hal ini, Kerajaan MADANI memilih untuk memberi ruang kepada TH memulihkan institusi berkenaan terlebih dahulu. Hari ini, apabila kedudukan TH sudah jauh lebih kukuh, kita memilih untuk mendedahkan laporan ini kepada rakyat.
“Alhamdulillah, kerajaan ingin menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pengurusan baharu TH serta semua pihak yang terlibat atas kejayaan memulihkan TH dengan cemerlang,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan penerangan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat mengenai laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji (TH) di Dewan Rakyat, hari ini.