
KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Penamatan perkhidmatan dua bekas kepimpinan tertinggi Lembaga Tabung Haji (TH) sebelum tamat tempoh yang dibangkitkan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) memerlukan penjelasan rasmi bagi merungkai sebarang kekeliruan.
- RCI mendapati penamatan perkhidmatan dibuat secara mengejut tanpa sebab jelas.
- Ketidakselarasan maklumat rasmi sebelum ini menimbulkan persoalan dan perlukan penjelasan.
- Pihak pengurusan dan kementerian disaran tampil memberi penjelasan demi ketelusan dan akauntabiliti.
- Keputusan penamatan didakwa menjejaskan usaha penambahbaikan serta pemulihan Lembaga Tabung Haji.
Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan berkata, laporan RCI mendapati penamatan perkhidmatan kedua-dua individu berkenaan dibuat secara mengejut tanpa sebab yang dinyatakan dengan jelas.
Ia juga menimbulkan persoalan terhadap maklumat rasmi yang diberikan sebelum ini berhubung penamatan perkhidmatan kedua-dua individu tersebut.
Sehubungan itu, beliau menyarankan pihak pengurusan serta kepimpinan kementerian berkaitan pada tempoh berkenaan tampil memberikan penjelasan lanjut demi menyokong prinsip ketelusan dan akauntabiliti tadbir urus institusi.
“Dapatan laporan RCI menunjukkan bahawa kedua-dua mereka telah berkhidmat dengan baik serta melaksanakan pelbagai penambahbaikan dalam Lembaga Tabung Haji.
“Walaupun bekas Pengerusi TH, Tan Sri Md Nor Yusof dilaporkan melepaskan jawatannya, RCI mendedahkan beliau sebenarnya telah ditamatkan perkhidmatan.
“Kedua-duanya dilantik semasa pentadbiran PH 1.0, namun perkhidmatan mereka dihentikan di bawah kepimpinan menteri selepas peristiwa Langkah Sheraton,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Laporan RCI berhubung pengurusan Lembaga Tabung Haji di Dewan Rakyat, hari ini.
Penjelasan itu dilihat penting kerana rakyat berhak mengetahui asas penamatan perkhidmatan berkenaan, lebih-lebih lagi apabila laporan RCI menunjukkan keputusan berkenaan memberi kesan terhadap usaha penambahbaikan dan pemulihan Lembaga Tabung Haji.