
KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Kerugian dalam pelaburan tidak semestinya membuktikan berlakunya salah laku. Namun setiap keputusan yang melibatkan wang pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH) perlu diteliti dari aspek proses, justifikasi, risiko dan akauntabiliti.
- Keputusan pelaburan TH mesti telus dan diteliti dari aspek proses, justifikasi, pengurusan risiko serta akauntabiliti.
- Perlu membezakan kerugian akibat turun naik pasaran dengan kerugian kerana keputusan cuai atau konflik kepentingan.
- Mekanisme mengesan dan mengurus konflik kepentingan mesti diperkuat untuk mengekalkan amanah pendeposit serta tujuan TH membantu persiapan haji.
Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, perkara utama yang perlu diberi perhatian susulan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan TH bukan sekadar jumlah kerugian yang dicatatkan, sebaliknya sama ada keputusan yang membawa kepada kerugian itu dibuat mengikut tatacara tadbir urus yang sewajarnya.
“Tuan Yang di-Pertua, kita mesti adil dalam membincangkan pelaburan. Pelaburan mempunyai risiko. Tidak semua kerugian bermaksud berlaku salah laku.
“Tetapi kita mesti boleh membezakan antara kerugian kerana turun naik pasaran dengan kerugian kerana keputusan yang cuai. Konflik kepentingan, atau kegagalan proses tadbir urus,” katanya pada sesi perbahasan Sidang Khas mengenai RCI TH.
Datuk Seri Aminuddin, perbezaan tersebut penting supaya laporan RCI tidak disalah tafsir sebagai kesimpulan bahawa setiap pelaburan yang merosot nilainya secara automatik merupakan suatu kesalahan.
Katanya mekanisme bagi mengesan dan mengurus konflik kepentingan juga perlu diberi perhatian bagi memastikan setiap keputusan pelaburan dibuat secara profesional dan berlandaskan kepentingan pendeposit.
Datuk Seri Aminuddin berkata pendekatan itu penting kerana TH bukan sekadar sebuah entiti pelaburan, sebaliknya institusi yang mengurus simpanan dan amanah umat Islam bagi membantu mereka membuat persediaan menunaikan ibadah haji.
“Sebab itulah, apabila kita membicarakan RCI Tabung Haji, kita sebenarnya sedang membicarakan amanah manusia kepada manusia, dan amanah manusia kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala,” katanya.