JIM Kedah gempur 94 pendatang asing tanpa izin

Antara pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan imigresen Kedah/Foto Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah

ALOR SETAR, 11 Ogos — Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah menahan 94 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam Ops Mahir dan Ops Sapu di beberapa lokasi sekitar Kuala Muda, Kubang Pasu dan Langkawi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Terdiri daripada 84 lelaki dan 10 wanita; 45 Bangladesh, 26 Myanmar, 18 Indonesia, 5 Pakistan.
  • 22 premis diserbu, 227 individu diperiksa termasuk tapak pembinaan, rumah kongsi, premis perniagaan dan kediaman.
  • PATI berusia 18 hingga 59 tahun disyaki melanggar Akta Imigresen 1959/63 termasuk masuk atau tinggal tanpa pas sah.
  • Semua tahanan dibawa ke depot imigresen; tindakan diambil terhadap majikan yang melindungi PATI, orang ramai digalakkan melapor maklumat.

Daripada jumlah itu, 84 lelaki dan 10 wanita, terdiri daripada 45 warga Bangladesh, 26 warga Myanmar, 18 warga Indonesia dan lima warga Pakistan.

Pengarah Imigresen Kedah Mohd Ridzuan Mohd Zain berkata, sebanyak 22 premis diperiksa membabitkan 227 individu, terdiri daripada warganegara Malaysia dan warga asing.

“Antara lokasi yang diperiksa termasuk tapak pembinaan, rumah kongsi, premis perniagaan dan kediaman di sekitar Sungai Petani, Kepala Batas, Jitra, Bukit Kayu Hitam dan Langkawi.

“Kesemua PATI yang ditahan berusia antara 18 hingga 59 tahun dan disyaki melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Tambah beliau, antara kesalahan dikesan termasuk memasuki dan berada di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah serta melanggar syarat pas yang dikeluarkan.

Dalam operasi sama, JIM Kedah turut mengeluarkan enam Saman Kepada Saksi (Borang IMM.29) bagi membantu siasatan.

PATI dibawa masuk ke dalam kenderaan tahanan Black Maria selepas ditahan dalam operasi penguatkuasaan JIM Kedah/Foto JIM Kedah

Kesemua PATI yang ditahan dalam operasi JIM Kedah dibawa ke Depot Imigresen Belantik.

Manakala tahanan daripada operasi di Langkawi dibawa ke Depot Imigresen Langkawi untuk proses dokumentasi, siasatan dan tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang.

“Tindakan tegas juga akan diambil terhadap mana-mana majikan atau individu yang didapati menggaji, melindungi atau memberi perlindungan kepada warga asing yang melanggar undang-undang imigresen,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kehadiran PATI atau sebarang pelanggaran undang-undang imigresen disaran menyalurkan maklumat kepada Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Kedah melalui talian 04-7333302, e-mel aduanpati.kdh@imi.gov.my atau Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) di https://imi.spab.gov.my.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.