
KANGAR, 11 Ogos – Seorang buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pendakwaan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja, bulan lalu.
- Dituduh melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja 17 tahun 11 bulan di bilik hotel kira-kira 4 pagi, 19 Julai.
- Didakwa di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
- Mahkamah benarkan jaminan RM9,000 dengan seorang penjamin; sebutan semula kes ditetapkan 7 September.
Tertuduh, Syafiq Dzulkafli, 35 tahun, membuat pengakuan itu dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Sharifah Norazlita Syed Salim Idid.
Mengikut pendakwaan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja berusia 17 tahun 11 bulan di sebuah bilik hotel kira-kira pukul 4 pagi, pada 19 Julai.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Alif Farhan, manakala tertuduh diwakili peguam, Mohamad Alif Farhan Mohamad Supian.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.