Kewangan TH: Lima amaran BNM sejak 2014 tidak diendahkan

BNM sejak 2014 telah membangkitkan kebimbangan terhadap amalan pembayaran agihan keuntungan tinggi yang menyebabkan rizab sedia ada menjadi negatif/ Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 11 Ogos Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengeluarkan lima siri surat peringatan berhubung jurang antara aset dengan tanggungan Lembaga Tabung Haji (TH), susulan kebimbangan berhubung kedudukan kewangan institusi itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • BNM sejak 2014 membangkitkan kebimbangan mengenai amalan pembayaran agihan keuntungan tinggi yang menjadikan rizab TH negatif.
  • Surat peringatan dihantar kepada Pengerusi TH dan Menteri, menuntut pembetulan segera supaya undang-undang tidak terus dilanggar.
  • Amaran BNM diabaikan oleh pengurusan TH, meningkatkan risiko sistemik; Ketua Audit Negara mendedahkan perubahan polisi rosot nilai untuk menonjolkan keuntungan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, meskipun bukan badan pengawal selia TH, BNM sejak 2014 telah membangkitkan kebimbangan terhadap amalan pembayaran agihan keuntungan tinggi yang menyebabkan rizab sedia ada menjadi negatif.

Menurut beliau, surat peringatan berkenaan dihantar kepada Pengerusi TH dan Menteri Hal Ehwal Agama ketika itu, dengan amaran supaya keadaan berkenaan diperbetulkan segera bagi memastikan TH tidak terus melanggar undang-undang.

“Asasnya adalah sekiranya tidak ditangani, maka ia berisiko menimbulkan kesan yang parah kepada kedudukan dan kestabilan kewangan negara.

“Jadi apa yang berlaku adalah surat-surat amaran yang diutuskan BNM tersebut tidak pernah diendahkan, apatah lagi diberi perhatian dan diambil tindakan oleh pengurusan TH pada ketika itu,” katanya.

Tambah Dr. Zulkifli, kedudukan TH pada ketika itu disifatkan berpotensi menimbulkan risiko sistemik terhadap kestabilan kewangan negara.

Peringatan itu kemudiannya disusuli dengan penegasan Ketua Audit Negara dalam Laporan Penyata Kewangan 2017 berhubung perubahan polisi rosot nilai yang dilakukan dua kali pada tahun sama bagi menunjukkan keuntungan lebih tinggi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.