
ROSARIO, 10 Ogos – Bintang bola sepak Argentina, Lionel Messi, memberi penghormatan terakhir kepada bapanya, Jorge Messi, dalam satu upacara tertutup disini , pada Sabtu.
- Jorge, 68, meninggal dunia selepas menghidap kanser.
- Upacara pengebumian di Perez dihadiri keluarga terdekat, rakan sepasukan; peminat berkumpul di luar El Prado.
- Jorge menjadi ejen Messi sejak awal; memperkenalkan bola sepak pada usia empat tahun dan mempengaruhi kerjayanya.
- AFA mengariskan satu minit bertafakur dan mewajibkan lilitan hitam untuk semua perlawanan bawah seliaannya.
Jorge, 68, yang juga ejen Messi sejak awal kerjaya profesionalnya, meninggal dunia pada lewat Jumaat selepas menghidap kanser.
Messi tiba dari Miami dengan penerbangan khas pada lewat Sabtu bersama isterinya, Antonela Roccuzzo, serta anak-anaknya.
Upacara pengebumian yang dihadiri keluarga terdekat dan beberapa rakan sepasukan dari Argentina berlangsung di sebuah tanah perkuburan di Perez, berhampiran Rosario.
Beberapa peminat turut berkumpul di luar tanah perkuburan El Prado dengan membawa mesej sokongan kepada bintang Inter Miami itu.
Pemain tengah Boca Juniors, Leandro Paredes, berkata kehadiran rakan sepasukan penting untuk memberikan sokongan kepada Messi ketika melalui detik sukar itu.
“Sudah tentu kehadiran kami akan memberi sedikit kekuatan kepadanya,” katanya.
Rakan rapat Messi dan rakan sepasukannya di Inter Miami, Rodrigo de Paul, turut dilaporkan pulang ke Argentina bagi memberikan sokongan kepada keluarga berkenaan.
De Paul sebelum itu memberi penghormatan kepada Messi selepas menjaringkan gol ketika Inter Miami tewas 1-2 kepada Monterrey dalam aksi Piala Liga di Miami.
Jorge merupakan antara individu terpenting dalam perjalanan kerjaya Messi.
Bekerja sebagai tukang besi di Rosario, Jorge pernah mengendalikan pasukan remaja kelab kecil Grandoli.
Beliau merupakan individu pertama yang membawa Messi kepada bola sepak ketika berusia empat tahun.
Kehidupan keluarga itu berubah pada 2000 apabila Barcelona menawarkan peluang kepada Messi yang ketika itu berusia 13 tahun untuk menjalani rawatan akibat kekurangan hormon pertumbuhan sambil menyertai akademi kelab berkenaan.
Jorge kemudian menjadi ejen yang menguruskan kontrak anaknya, termasuk ketika Messi bersama Barcelona, Paris Saint-Germain dan Inter Miami.
Sementara itu, Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA) mengarahkan upacara bertafakur selama seminit sebelum perlawanan .
Para pemain perlu memakai lilitan hitam sebagai tanda berkabung dalam semua perlawanan di bawah seliaan AFA. – AFP