JDT Chelsea sama kuat

Foto JDT

ISKANDAR PUTERI, 9 Ogos– Juara dunia Kelab FIFA, Chelsea dan Johor Darul Ta’zim (JDT) terikat 3-3 dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) di sini hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Arif Aiman membuka jaringan menerusi hantaran Marcus Guilherme pada minit ke-14.
  • Liam Delap menyempurnakan dua sepakan penalti, menyamakan dan kemudian meletakkan Chelsea di hadapan.
  • Bergson menjaringkan gol untuk JDT pada minit ke-85 sebelum Christian Glauder menjaringkan sendiri gol pada masa kecederaan.

Perlawanan yang disaksikan lebih 28,000 penonton itu menyaksikan tuan rumah bermula garang apabila membuka tirai jaringan menerusi pemain sayapnya, Arif Aiman Mohd Hanapi, yang bijak menolak masuk hantaran Marcus Guilherme pada minit ke-14.

Chelsea kemudian menyamakan kedudukan pada minit ke-43 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan penyerangnya, Liam Delap, selepas beliau dijatuhkan di dalam kotak penalti.

Skuad kendalian Xabi Alonso hampir mendahului pada penghujung babak pertama, namun Delap gagal memanfaatkan peluang keemasan ketika berdepan situasi satu lawan satu dengan penjaga gol JDT, Ahmad Syihan Hazmi, apabila percubaannya sedikit tersasar.

Pemain JDT Arif Aiman Mohd Hanapi (kiri) berjaya menjaringkan gol ketika menentang Chelsea FC pada perlawanan persahabatan antarabangsa antara JDT dan Chelsea FC di Stadium Sultan Ibrahim / BERNAMA

Memasuki babak kedua, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dalam usaha memburu gol untuk kembali mendahului perlawanan.

The Blues sekali lagi dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-60 selepas pemainnya dijatuhkan di dalam kotak penalti, sebelum Delap tenang menyempurnakan sepakan itu dua minit kemudian untuk meletakkan Chelsea di hadapan.

Bagaimanapun, kedudukan itu tidak kekal lama apabila JDT kembali menyamakan kedudukan tiga minit kemudian menerusi sepakan percuma Oscar Aribas.

Harimau Selatan kembali memimpin perlawanan menerusi jaringan Bergson Da Silva pada minit ke-85.

Pemain Chelsea Estevao Willian Almeida de Oliveira Goncalves melakukan percubaan yang dihalang beberapa pemain JDT pada perlawanan persahabatan antarabangsa antara JDT dan Chelsea FC di Stadium Sultan Ibrahim / BERNAMA

Ketika perlawanan seolah-olah memihak kepada tuan rumah, pertahanan JDT, Christian Glauder, melakukan kesilapan sehingga menjaringkan gol sendiri untuk membolehkan Chelsea menyamakan kedudukan pada masa kecederaan.

Aksi itu merupakan perlawanan terakhir Chelsea dalam Jelajah Pra-Musim di Asia. Pasukan itu akan kembali ke Stamford Bridge untuk menentang Real Sociedad pada 15 Ogos.

Chelsea kemudian akan membuka kempen Liga Perdana Inggeris menentang seteru setempat, Fulham, di tempat lawan pada 25 Ogos.- BERNAMA

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.