
BATU KAWAN, 9 Ogos – Kementerian Kerja Raya (KKR) berharap terus menerima peruntukan pembangunan tertinggi dalam Belanjawan 2027 yang akan dibentangkan Oktober depan bagi membolehkan pelaksanaan lebih banyak projek pembangunan dan penyelenggaraan infrastruktur negara.
- KKR mengumpul input daripada agensi berkaitan untuk perancangan projek pembangunan dan penyelenggaraan infrastruktur.
- Hasil dapatan akan diserahkan kepada Menteri Kewangan II untuk pertimbangan dasar dan peruntukan.
- LLM memperkukuh lebuh raya pintar melalui teknologi digital, kecerdasan buatan, CCTV, lorong pintar dan aplikasi navigasi TuJu.
Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, KKR kini dalam fasa mengumpul input daripada agensi di bawah kementerian itu termasuk Lembaga Lebuhraya Malaysia, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia dan Jabatan Kerja Raya.
Hasil dapatan dan input berkenaan akan diserahkan kepada Menteri Kewangan II pada 28 Ogos ini untuk pertimbangan.
“Saya berharap peruntukan pembangunan untuk KKR dapat ditingkatkan berbanding tahun sebelum ini, kami terima kira-kira RM10 bilion dalam belanjawan tahun lepas dengan RM9 bilion daripadanya merupakan peruntukan pembangunan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Cultural Night Run (CNR 2026) di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah pada Sabtu.
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan turut menambah, KKR melalui LLM juga turut memperkukuh usaha mewujudkan konsep lebuh raya pintar menerusi penggunaan teknologi digital, kecerdasan buatan, kamera litar tertutup, lorong pintar dan aplikasi navigasi tempatan TuJu.
Saranan itu penting memandangkan Pusat Kawalan Trafik LLM memantau ratusan kamera litar tertutup (CCTV) di seluruh 34 lebuh raya termasuk di kedua-dua jambatan di Pulau Pinang.
Menurutnya, sistem berkenaan juga mempunyai pautan dengan aplikasi KKR dan MYJalan, sekaligus membolehkan pengguna membuat laporan dan aduan berkaitan jalan raya.
“TuJu, yang dibangunkan LLM, ialah aplikasi navigasi ketiga di Malaysia selepas Waze dan Google Maps, menawarkan ciri khusus berkaitan perjalanan di lebuh raya dengan menyediakan maklumat seperti paparan CCTV, kadar caj tol, lokasi kawasan Rehat dan Rawat, bantuan kecemasan serta maklumat trafik terkini yang dihubungkan dengan Pusat Kawalan Trafik LLM.
“Aplikasi ketiga di Malaysia selepas Waze dan Google Maps itu menawarkan maklumat khusus seperti paparan CCTV secara langsung, kadar tol, lokasi Kawasan Rehat dan Rawat (R&R), serta bantuan kecemasan.” katanya