
KUALA LUMPUR, 9 Ogos – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim supaya dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja, (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH) disiasat secara menyeluruh, telus dan tanpa kompromi.
- Terjemahkan dapatan RCI kepada tindakan jelas, perbaiki kelemahan dan ambil tindakan undang-undang jika ada pelanggaran.
- Dana Tabung Haji dilihat dari sudut amanah; pengurusan harus berasaskan tadbir urus, kawalan berkesan dan pematuhan syariah.
- Menyokong pendirian Menteri supaya dapatan RCI dijadikan asas penambahbaikan tadbir urus Tabung Haji.
- Proses susulan mesti profesional, berasaskan fakta, tidak dijadikan ruang politik atau tuduhan tidak berasas.
Yang Dipertua YADIM, Datuk Dr Hasan Bahrom menegaskan, dapatan RCI perlu diterjemahkan kepada tindakan yang jelas, termasuk memperbaiki kelemahan yang dikenal pasti serta mengambil tindakan sewajarnya sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang.
“Laporan RCI bukan sekadar untuk diketahui umum, sebaliknya perlu diteliti pihak berkuasa berdasarkan fakta dan lunas undang-undang, ” katanya menerusi satu kenyataan.
Beliau berkata, YADIM turut melihat isu berkenaan daripada sudut amanah memandangkan dana yang diuruskan Tabung Haji merupakan simpanan umat Islam bagi tujuan menunaikan ibadah haji.
Sehubungan itu, pengurusan dana tersebut perlu sentiasa berteraskan tadbir urus yang jelas, kawalan berkesan dan pematuhan syariah.
YADIM juga menyokong pendirian Menteri di Jabatan Perdana Menteri, (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan supaya dapatan RCI dijadikan asas kepada penambahbaikan tadbir urus TH.
“YADIM berharap proses susulan laporan RCI dilaksanakan secara profesional dan berasaskan fakta, tanpa dijadikan ruang untuk kepentingan politik atau tuduhan tidak berasas,” katanya lagi.
Tegas Datuk Dr Hasan, perkara yang lebih penting selepas laporan itu didedahkan ialah tindakan susulan bagi memastikan segala dapatan yang terbukti diberikan tindakan sewajarnya, manakala kelemahan yang dikenal pasti diperbaiki.
Langkah itu penting bagi memastikan amanah serta kepercayaan umat Islam terhadap Tabung Haji terus terpelihara.