Kuching tuan rumah sambutan Hari Malaysia 2026

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil memasang Jalur Gemilang bermagnet pada sebuah kenderaan awam, pada program Ekspresi Jalur Gemilang JAPEN @ PETRONAS di Pantai Dalam/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 9 Ogos – Kuching, Sarawak dipilih sebagai tuan rumah sambutan Hari Malaysia 2026, dengan acara sambutan bakal diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).

RINGKASAN BERITA AI
  • Persiapan sambutan berjalan baik; mesyuarat seterusnya dijadual 24 Ogos untuk memperincikan persediaan.
  • Jabatan Penerangan (JAPEN) jalankan program dalam sembilan kluster bagi menyemarakkan Bulan Kebangsaan dan semangat patriotik.
  • Inisiatif utama: Kembara Merdeka Jalur Gemilang, Singgah Media Merdeka, Program 1 Rumah 1 Jalur Gemilang, edaran bendera dan magnet.
  • Prasarana akan sediakan perkhidmatan pengangkutan awam 24 jam pada 30 hingga 31 Ogos untuk memudahkan hadir dan pulang.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu dipersetujui dalam mesyuarat pertama persiapan sambutan yang diadakan pada Isnin lalu selepas pihaknya meninjau lokasi berkenaan.

Beliau berkata, BCCK dipilih kerana mempunyai ruang yang bersesuaian untuk penganjuran sambutan berskala besar, selain mempunyai kemudahan yang hampir sama seperti lokasi sambutan Hari Malaysia tahun lalu di Butterworth, Pulau Pinang.

“Pada waktu ini keputusannya adalah dipersetujui diadakan di BCCK. Kita telah melihat lokasi tersebut, memang sangat bersesuaian dari segi ruang, ia hampir sama dengan di PICA di Butterworth, tempat kita laksanakan sambutan Hari Malaysia pada tahun lalu,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri program Ekspresi Jalur Gemilang JAPEN @ PETRONAS di Pantai Dalam, hari ini.

Tambah beliau, persiapan sambutan berjalan dengan baik dan mesyuarat seterusnya dijadualkan pada 24 Ogos bagi memperincikan persiapan sambutan berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata Kementerian Komunikasi menerusi Jabatan Penerangan (JAPEN) turut melaksanakan pelbagai program dan inisiatif bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan serta meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat.

Katanya, pelaksanaan program itu merangkumi sembilan kluster termasuk pendidikan, pendidikan tinggi, kesihatan, keselamatan, agensi kerajaan Persekutuan dan negeri, komuniti, industri, rumah ibadat serta sukan.

“Kita juga ada program Kembara Merdeka Jalur Gemilang bersama JAGO. JAGO adalah unit siar raya terbaru yang dimiliki oleh Jabatan Penerangan. Hebahan dibuat di setiap zon dalam negara kita.

“Dan juga program Singgah Media Merdeka, ini telah dan sedang diadakan bermula 5 Ogos sehingga 18 Ogos. Program Singgah Santai Media Merdeka adalah inisiatif Jabatan Penerangan untuk menyantuni warga media dan memberi sedikit ruang untuk memaklumkan mengenai inisiatif Jabatan Penerangan dan Kementerian Komunikasi sempena Bulan Kebangsaan,” katanya.

Tambah beliau, Program 1 Rumah 1 Jalur Gemilang turut menjadi inisiatif utama bagi menggalakkan setiap isi rumah mengibarkan Jalur Gemilang sebagai simbol kecintaan dan semangat patriotik sempena Bulan Kebangsaan.

Beliau berkata, JAPEN turut mempergiat usaha menggalakkan orang ramai mempamerkan Jalur Gemilang menerusi edaran bendera dan magnet Jalur Gemilang.

Katanya, penggunaan magnet Jalur Gemilang merupakan penambahbaikan tahun ini susulan maklum balas orang ramai yang lebih menggemari kaedah tersebut.

Beliau turut menyarankan lagu tema rasmi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini, ‘Aku Berjanji’ nyanyian Faizal Tahir, dimainkan dengan lebih kerap menerusi stesen radio dan televisyen tempatan.

Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan mesej serta semangat sambutan Bulan Kebangsaan dapat dirasai dengan lebih meluas oleh masyarakat.

Sementara itu, dalam usaha memudahkan orang ramai menghadiri sambutan Hari Kebangsaan di Putrajaya, Datuk Seri Fahmi berkata Prasarana akan menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam selama 24 jam pada 30 dan 31 Ogos ini.

“Pihak Prasarana telah memberi komitmen untuk menyediakan perkhidmatan awam secara 24 jam sempena Hari Kebangsaan pada 30 masuk ke 31 Ogos. Jadi itu satu penambahbaikan berbanding sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut mengambil maklum keperluan penambahbaikan kemudahan lain bagi memastikan perjalanan orang ramai ke Putrajaya berjalan lancar.

Beliau berharap langkah berkenaan dapat membantu lebih ramai rakyat hadir memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan, selain memudahkan mereka pulang selepas program berakhir.

Pelbagai program yang dilaksanakan JAPEN akan diteruskan sehingga berakhirnya Bulan Kebangsaan pada 16 September.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.