
KUALA LUMPUR, 9 Ogos – Perdana Menteri menziarahi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang kini menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) semalam.
- Keadaan kesihatan Datuk Seri Fadillah semakin baik, namun masih memerlukan rehat secukupnya atas nasihat pasukan perubatan.
- Datuk Seri Fadillah dilaporkan menjalani pembedahan pintasan jantung di IJN atas nasihat pakar perubatan.
- Datuk Seri Ismail Sabri selamat menjalani pemasangan perentak jantung tanpa wayar dan masih memerlukan pemantauan lanjut.
Menerusi hantaran di Facebook, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keadaan kesihatan Datuk Seri Fadillah semakin baik.
“Alhamdulillah, keadaan kesihatan beliau semakin baik, namun masih memerlukan rehat yang secukupnya atas nasihat pasukan perubatan,” katanya.
Datuk Seri Anwar berkata, beliau bersama isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, turut menziarahi Ismail Sabri atas dasar persahabatan.
“Beliau juga sedang menerima rawatan di IJN dan masih memerlukan pemantauan lanjut,” katanya.
Pasangan itu turut mendoakan agar kedua-dua pemimpin itu diberikan kesembuhan segera, dipermudah segala urusan rawatan serta dikurniakan keafiatan dan kekuatan untuk terus berkhidmat kepada rakyat dan negara.
Datuk Seri Fadillah dilaporkan menjalani pembedahan pintasan jantung di IJN atas nasihat pasukan pakar perubatan.
Manakala, Datuk Seri Ismail Sabri, selamat menjalani prosedur pemasangan perentak jantung tanpa wayar bagi merawat masalah jantung tidak normal pada petang Jumaat.