Liga A2: Kuala Perlis Titans FC sasar kebangkitan

Foto RTM

KANGAR, 9 Ogos – Kegagalan mara ke perlawanan akhir Liga A2 musim lalu menjadi pembakar semangat Kuala Perlis Titans FC untuk tampil lebih kompetitif pada saingan musim ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perkasa kekuatan dengan gabungan pemain berpengalaman dan muka baharu.
  • Kekalkan 14 pemain musim lalu; pilih 16 pemain baharu untuk pasukan lebih mantap.
  • Fokus menggilap bakat muda dari Liga Super Perlis dan institusi pengajian tinggi tempatan.
  • Seru penaja di Perlis menyokong musim 2026/2027 untuk bangkitkan pemain muda dan pemain separuh umur.

Pasukan berkenaan merancang untuk memperkasa kekuatan dengan menampilkan gabungan pemain berpengalaman dan muka baharu.

Penolong Jurulatihnya Abd Jalil Ramli berkata sebanyak 14 pemain daripada skuad musim lepas dikekalkan, manakala 16 pemain baharu bakal dipilih bagi membentuk pasukan yang lebih mantap.

“Kami mahu bangkit selepas tersingkir di separuh akhir musim lalu kepada AZM Rovers FC dengan agregat 1-2.

“Jadi musim ini kami cuba membentuk pasukan yang lebih kuat dengan menggabungkan pemain lama dan baharu, termasuk bakat-bakat tempatan,” katanya pada sesi pemilihan pemain baharu di Padang TNB, Utan Aji, di sini.

Beliau berkata pihak kejurulatihan kini memberi tumpuan kepada usaha menggilap bakat muda, terutama pemain daripada pasukan Liga Super Perlis dan institusi pengajian tinggi di negeri itu.

Katanya, seramai 30 pemain menyertai sesi latihan dan pemilihan bagi mengenalpasti pemain terbaik yang dapat memberi impak dan saingan bagi
musim ini.

Beliau pada masa sama turut menyeru syarikat dan pihak penaja agar tampil memberikan sokongan kepada Kuala Perlis Titans FC.

“Saya harap penaja-penaja di Perlis dapat bersama-sama kita untuk musim 2026/2027 ini dengan sokongan yang baik supaya kita dapat mengangkat pemain muda dan pemain separuh umur.

“Kita mahu sama-sama mengangkat semula bola sepak Perlis,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.