
KUALA LUMPUR, 9 Ogos – Enam kawasan di Sarawak merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat pemantauan terkini, dengan Serian mencatatkan bacaan tertinggi iaitu 171.
- Samarahan, Bintulu, Kuching, Samalaju dan Sri Aman catat IPU pada tahap tidak sihat.
- Johan Setia di Selangor turut merekodkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat.
- Kesemua bacaan melebihi ambang 100, dikategorikan sebagai tidak sihat.
- Jerebu rentas sempadan dijangka menjejaskan 19 kawasan Sarawak; orang ramai dinasihat kurangkan aktiviti luar dan berjaga-jaga.
Berdasarkan Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS) setakat pukul 10 pagi tadi, stesen IPD Serian merekodkan IPU 171, diikuti Samarahan (156), Bintulu dan Kuching masing-masing 155, serta Samalaju (152).
Sri Aman pula merekodkan bacaan IPU 123.
Satu lagi kawasan yang mencatatkan bacaan pada tahap tidak sihat ialah Johan Setia, Selangor dengan IPU 151.
Kesemua bacaan berkenaan melepasi paras 100, iaitu ambang yang dikategorikan sebagai tidak sihat.
Semalam, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, jerebu rentas sempadan dijangka menjejaskan 19 kawasan di Sarawak dalam tempoh beberapa hari akan datang, dengan corak angin semasa membawa asap daripada titik panas di wilayah jiran ke negeri ini.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata kawasan dikenal pasti ialah Betong, Bintulu, Daro, Julau, Kanowit, Kuching, Lundu, Marudi, Miri, Mukah, Pakan, Samarahan, Saratok, Serian, Sibu, Simunjan, Song, Sri Aman dan Tatau.
Sementara itu, Datuk Bandar Kuching Utara, Datuk Hilmy Othman menyeru warga kota sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga susulan keadaan jerebu yang semakin ketara melanda Kuching ketika ini.
Orang ramai, khususnya kumpulan berisiko, dinasihatkan mengurangkan aktiviti fizikal atau pendedahan berpanjangan di luar sekiranya keadaan kualiti udara semakin merosot.