Ops Samseng Jalanan: 1,500 motosikal diperiksa, 550 saman dikeluarkan di KL

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 9 Ogos – Lebih 1,500 motosikal diperiksa manakala 550 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam Operasi Samseng Jalanan di Jalan Ampang, malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kesalahan utama ialah menunggang motosikal tanpa lesen memandu sah termasuk membabitkan penunggang bawah umur.
  • Pihak berkuasa menggesa ibu bapa memantau keberadaan anak, rakan dan motosikal yang digunakan demi keselamatan pengguna jalan raya.
  • Beberapa motosikal ditahan kerana pengubahsuaian nombor pendaftaran; operasi berlanjutan setiap malam melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, antara kesalahan utama dikesan ialah menunggang motosikal tanpa lesen memandu yang sah, termasuk membabitkan penunggang bawah umur.

Beliau berkata ibu bapa perlu mengambil tahu keberadaan anak-anak, termasuk ketika keluar rumah, rakan yang bersama mereka serta motosikal yang digunakan.

“Mereka ini masih di bawah penjagaan keluarga dan saya berharap keluarga mengambil tahu keberadaan anak-anak, bila mereka keluar, dengan siapa mereka keluar dan motosikal yang mereka gunakan.

“Ada juga yang menggunakan motosikal milik ahli keluarga. Ia boleh membahayakan mereka serta pengguna jalan raya yang lain,” katanya ketika ditemui pada operasi berkenaan.

Mohd Zamzuri berkata, tiga motosikal turut ditahan mengikut Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana kesalahan berkaitan pengubahsuaian nombor pendaftaran.

“Kami akan adakan operasi sebegini pada setiap malam. Cuma setiap operasi mungkin mempunyai skala yang berbeza-beza,” katanya.

Operasi itu membabitkan 103 pegawai dan anggota JSPT serta Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), selain lapan anggota bantuan daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.