
KUALA LUMPUR, 8 Ogos – Sebuah kontena di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Johor, yang disyaki membawa dagangan untuk dieksport ke Israel pada 7 Ogos lalu ditahan dan diperiksa menerusi maklumat risikan yang diterima.
- Penghantaran disyaki melanggar Item No. 15, Jadual Kedua, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Eksport) 2023.
- AKPS akan siasat bersama agensi bagi mengesahkan sifat, spesifikasi, kegunaan dan klasifikasi barangan, termasuk status di bawah Akta Perdagangan Strategik 2010.
- Malaysia tidak akan berkompromi. Sebarang percubaan eksport langsung atau tidak langsung ke Israel yang melanggar undang-undang akan dikenakan tindakan tegas.
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dalam kenyataan memaklumkan, berdasarkan semakan awal, penghantaran tersebut disyaki tidak mematuhi Item No. 15, Jadual Kedua, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Eksport) 2023.
“Ia memperuntukkan larangan pengeksportan barangan secara langsung atau tidak langsung ke Israel, selaras dengan dasar dan ketetapan Kerajaan Malaysia.
“AKPS akan menjalankan siasatan lanjut bersama pihak berkuasa danagensi berkaitan bagi mengesahkan sifat, spesifikasi, kegunaan serta klasifikasi barangan berkenaan.
“Termasuk menentukan sama ada barangan tersebut merupakan barangan strategik yang tertakluk kepada kawalan di bawah Akta Perdagangan Strategik 2010 [Akta 708] dan perundangan subsidiari yang berkaitan,” menurut kenyataan itu.
Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang tindakan yang melanggar dasar, sekatan dan perundangan negara berkaitan Israel. Pendirian Kerajaan MADANI dalam perkara itu adalah jelas dan konsisten.
“Sebarang percubaan untuk mengeksport barangan secara langsung atau tidak langsung ke Israel yang bertentangan dengan undang-undang dan ketetapan Kerajaan akan diambil tindakan tegas,” tambah kenyataan itu.