
KUALA LUMPUR, 8 Ogos – Usaha pembaharuan yang dilaksanakan Lembaga Tabung Haji (TH) sejak 2018 berjaya memperkukuh kedudukan kewangan, tadbir urus dan ketahanan institusi itu, termasuk pelaksanaan 75 peratus daripada syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).
- Pembaharuan meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan amanah pendeposit.
- Penstrukturan aset, penambahbaikan pelaporan kewangan dan pengukuhan proses tadbir urus dilaksanakan.
- Pendekatan berdisiplin dalam agihan keuntungan dan pengurusan kewangan berhemah ditekankan.
- Prestasi TH mesti dinilai berdasarkan kemampuan melindungi simpanan, kewangan kukuh dan memudahkan umat menunaikan haji.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, institusi kewangan yang kukuh perlu terus diperkasa menerusi pengurusan bertanggungjawab dan penambahbaikan berterusan bagi memastikan kelangsungan jangka panjang.
“Pembaharuan ini mencerminkan komitmen TH untuk terus meningkatkan ketelusan, memperkukuh akauntabiliti serta mengurus amanah pendeposit secara bertanggungjawab.
“Tumpuan utama adalah membina institusi yang lebih kukuh, berdaya tahan dan mempunyai tadbir urus baik supaya simpanan jutaan pendeposit terus dilindungi, keyakinan masyarakat diperkukuh serta TH terus membantu rakyat Malaysia menunaikan ibadah haji pada masa hadapan,” katanya.
Menurutnya, antara pembaharuan utama dilaksanakan TH ialah penstrukturan aset, penambahbaikan piawaian pelaporan kewangan, pengukuhan proses tadbir urus serta pendekatan lebih berdisiplin dalam agihan keuntungan kepada pendeposit.
Beliau berkata, semakan bebas termasuk menerusi RCI turut menekankan kepentingan tadbir urus kukuh, pengurusan kewangan berhemah dan pengurusan institusi secara mampan sebagai asas kepada kelangsungan TH.
Mohd Afzanizam berkata, sebagai institusi yang menguruskan simpanan jutaan rakyat Malaysia, prestasi TH perlu dinilai secara menyeluruh dengan mengambil kira cabaran yang pernah dihadapi, pembaharuan yang telah dilaksanakan serta kemajuan yang dicapai.
“Keupayaan TH melindungi simpanan pendeposit, mengekalkan kedudukan kewangan yang kukuh dan terus membantu umat Islam Malaysia menunaikan ibadah haji harus menjadi ukuran utama dalam menilai prestasi institusi itu untuk jangka panjang,” katanya.