
GENEVA, 8 Ogos – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan ujian klinikal berskala besar vaksin Ervebo dijalankan ke atas manusia bagi menangani wabak Ebola.
- Data awal haiwan menunjukkan vaksin Ervebo memberikan perlindungan silang terhadap spesis Ebola Bundibugyo yang kini merebak.
- Wabak telah melepasi lebih 4,000 kes dengan kira-kira 1,850 kematian dan merebak lebih pantas daripada usaha tindak balas.
- Penasihat vaksin mengesyorkan Ervebo diberi keutamaan dalam ujian klinikal rawak; tiada kebimbangan keselamatan dan 55,000 petugas barisan hadapan telah divaksin.
Keperluan itu bagi melihat sama ada satu-satunya vaksin yang diluluskan ketika ini, menawarkan perlindungan silang terhadap wabak yang sedang merebak di Republik Demokratik Congo (DR Congo).
Kumpulan penasihat vaksin WHO memaklumkan berdasarkan data awal ujian kepada haiwan menunjukkan vaksin berkenaan telah memberi perlindungan silang terhadap spesis Ebola Bundibugyo yang jarang berlaku dan kini telah merebak dengan pantas di DR Congo.
Syor dibuat memandangkan jumlah kes telah melepasi angka 4,000 termasuk 1,850 kematian.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus pada Jumaat, sekali lagi memberi amaran bahawa wabak berkenaan telah merebak lebih pantas berbanding, usaha tindak balas untuk menanganinya.
“Kumpulan penasihat telah mengesyorkan agar vaksin Ervebo diberi keutamaan dalam ujian klinikal rawak dan penemuan itu disifatkan sebagai ‘berita baik’.
“Pakar-pakar juga sebulat suara bersetuju bahawa tiada kebimbangan terhadap penggunaan vaksin berkenaan memandangkan ujian klinikal juga telah dijalankan kepada individu yang mempunyai hubungan dengan pesakit,”katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Gavi, Dr Sania Nishtar menyifatkan dengan kelulusan vaksin Ervebo itu berupaya membantu mengurangkan jangkitan serta angka kematian.
Kira-kira 55,000 petugas barisan hadapan di Ituri dan North Kivu telah menerima vaksin berkenaan.-AFP