Pemantauan e-dagang rentas sempadan diperketat, pastikan persaingan adil

Beberapa inisiatif turut dicadang termasuk memperluas program ‘Jom Beli Produk Malaysia’ ke platform e-dagang / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Penjualan produk dalam platform e-dagang rentas sempadan sedia dipantau rapat bertujuan menjamin hak serta keselamatan pengguna, selain memastikan kelangsungan perniagaan Malaysia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pastikan semua produk di platform tertakluk kepada undang-undang, piawaian dan tanggungjawab yang sama seperti penjual tempatan.
  • Wujudkan persaingan adil bagi melindungi daya saing dan kelangsungan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana tempatan.
  • Perkukuh kerjasama agensi melalui Jawatankuasa Khas; perluas program 'Jom Beli Produk Malaysia' dan tingkatkan tindakan terhadap penjual menawarkan barangan larangan atau tiruan.

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong menjelaskan kerajaan akan memastikan semua produk yang dijual di pasaran Malaysia oleh platform berkenaan tertakluk kepada undang-undang, piawaian dan tanggungjawab sama seperti yang perlu dipatuhi penjual tempatan.

”Langkah berkenaan penting bagi mewujudkan medan persaingan yang adil serta melindungi daya saing Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) tempatan.

”Usaha itu juga dapat memastikan kelangsungan PMKS tempatan yang perlu mematuhi pelbagai peraturan serta menanggung kos seperti gaji pekerja, percukaian dan perlesenan yang tidak ditanggung oleh penjual luar negara,”katanya menerusi kenyataan.

Persetujuan dicapai dalam sesi libat urus yang dipengerusikan beliau bersama pengendali platform e-dagang dan agensi kerajaan.

Mesyuarat juga bersetuju untuk memperkukuhkan lagi pendekatan di bawah struktur Jawatankuasa Khas Berkaitan Impak Perniagaan Asing Dalam Negara melalui penglibatan agensi seperti SIRIM, Jabatan Kastam, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Beberapa inisiatif turut dicadangkan termasuk memperluas program ‘Jom Beli Produk Malaysia’ ke platform e-dagang serta memastikan pematuhan penuh terhadap undang-undang tempatan bagi melindungi kepentingan peniaga dan pengguna.

Dalam pada itu, pengendali platform e-dagang akan meningkatkan pemantauan terhadap platform masing-masing termasuk menggantung penjual yang didapati menawarkan produk larangan atau barangan tiruan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.