Industri mudah alih Asia Pasifik dijangka sumbang AS$1.4 trilion menjelang 2030

Julian Gorman

KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Industri mudah alih dan perkhidmatan berkaitan digital dijangka menyumbang AS$1.4 trilion kepada ekonomi Asia Pasifik menjelang 2030, meningkat 40 peratus berbanding AS$1 trilion yang dijana ketika ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ekosistem mudah alih menyokong 18 juta pekerjaan langsung dan tidak langsung, menyumbang signifikan kepada ekonomi rantau Asia Pasifik.
  • Fasa pertumbuhan digital seterusnya dipengaruhi AI, peningkatan kepercayaan digital, ketahanan infrastruktur dan kedaulatan digital.
  • Teknologi 5G, AI dan IoT dijangka memberi manfaat besar kepada sektor pembuatan dan perkhidmatan, melebihi separuh manfaat ekonomi teknologi maju.

Ketua GSMA Asia Pasifik, Julian Gorman berkata, menerusi Laporan Mobile Economy Asia Pacific 2026 dikeluarkan GSMA, ekonomi mudah alih kini menjadi penyumbang penting kepada ekonomi rantau Asia Pasifik, termasuk melalui penciptaan pekerjaan dan peningkatan penggunaan teknologi digital.

“Ekosistem ekonomi mudah alih ini menyokong 18 juta pekerjaan secara langsung dan tidak langsung, sekali gus menjadi penyumbang penting kepada ekonomi rantau ini.

“Malaysia pula menunjukkan perkembangan penggunaan teknologi yang memberangsangkan, dengan penggunaan internet yang tinggi serta peningkatan penggunaan 5G menjelang akhir dekad ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan laporan Mobile Economy Asia Pacific 2026 keluaran GSMA pada sesi meja bulat di sini, hari ini yang turut dihadiri Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Menurut Laporan Mobile Economy Asia Pacific 2026, fasa pertumbuhan digital seterusnya akan dipengaruhi perkembangan kecerdasan buatan (AI), peningkatan kepercayaan digital, daya tahan infrastruktur serta kedaulatan digital.

Teknologi 5G, AI dan Internet Pelbagai Benda (IoT) dijangka memberi manfaat besar kepada sektor pembuatan dan perkhidmatan, yang secara bersama menyumbang lebih separuh daripada manfaat ekonomi daripada teknologi mudah alih termaju.

GSMA turut menjangkakan sambungan 5G di Asia Pasifik mencecah 1.5 bilion menjelang 2030, mewakili 50 peratus daripada keseluruhan sambungan mudah alih di rantau berkenaan.

AI kini memainkan peranan penting dalam transformasi industri telekomunikasi, termasuk meningkatkan kecekapan rangkaian, membangunkan perkhidmatan baharu serta memperkukuh keselamatan pengguna digital.

Menurut GSMA, pertumbuhan ekonomi digital turut memerlukan usaha memperkukuh kepercayaan pengguna susulan peningkatan ancaman penipuan dalam talian, selain memastikan infrastruktur digital kekal selamat dan berdaya tahan.

Laporan itu turut menjadi antara topik utama menjelang penganjuran M360 ASEAN 2026 di ibu negara pada 9 dan 10 September depan, yang menghimpunkan pembuat dasar, pemain industri serta pakar bagi membincangkan hala tuju ekonomi digital, AI dan keterhubungan rantau Asia Pasifik.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.